(Oleh: Nabihah Hamid)
PETALING JAYA: KEADILAN mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tarikh pelaksanaan Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST).
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, kenyataan Najib berhubung isu itu masih samar, malah tidak menetapkan tarikh pelaksanaan cukai tersebut.
Justeru itu, katanya, Pilihan raya Umum 13 perlu dijadikan referendum untuk mengambil kira pandangan rakyat mengenai pelaksanaan cukai baru itu.
“Oleh yang demikian, KEADILAN menyeru Barisan Nasional supaya menjelaskan pendiriannya mengenai pelaksanaan GST termasuklah tarikh pelaksanaan sebelum pilihanraya umum ke-13 (PRU13) diadakan, untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang telus dan tepat,”.
“Di kebanyakan negara-negara yang telah melaksanakan GST, isu ini telah dibawa menjadi isu utama pilihanraya dan keputusan pilihanraya menjadi referendum sama ada rakyat mempersetujui pelaksanaan GST atau tidak,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, pelaksanaan GST dalam keadaan inflasi masih tinggi, akan menambah bebanan sara hidup rakyat di mana 10 juta rakyat Malaysia yang selama ini tidak layak membayar cukai, terpaksa menanggung bebanan cukai baru.
“Ini akan menambah beban mereka yang terpaksa berdepan dengan persoalan gaji yang rendah, inflasi yang meningkat dan bebanan cukai yang baru,” kata beliau ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini.
Turut hadir dalam sidang media itu Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi
Nik Ahmad.
KEADILAN kata Rafizi, tidak menolak GST sebagai satu kaedah percukaian, tetapi mempertikaikan kesesuaian pelaksanaannya pada ketika hanya 1.7 juta rakyat Malaysia dianggarkan layak membayar cukai pendapatan.
“Sebahagian besar rakyat Malaysia tergolong di dalam kategori yang dikecualikan dari membayar cukai pendapatan kerana gaji yang rendah,” ujarnya.
“Di negara-negara yang telah melaksanakan GST, cukai ini diperkenalkan sebagai ganti kepada cukai pendapatan,”.
“Kadar cukai pendapatan diturunkan serta merta apabila GST diperkenalkan, lantas rakyat tidak mengalami bebanan cukai tambahan kerana sumbangan cukai dari rakyat hanya dialihkan dari cukai pendapatan kepada GST,” katanya.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.