ALOR SETAR, 14 JAN: Sejarah seolah mengulang dirinya, dan Malaysia
kini berada di persimpangan jalan di mana rakyat mempunyai peluang
keemasan untuk melakukan perubahan positif.
Demikian intipati ucapan Naib Pengerusi DAP Senator Tunku Abdul Aziz
di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim
Mua’dzam Shah di sini hari ini.
Mengimbas kenangan pasca tahun 1969, beliau berkata, Yang di-Pertuan
Agong Tuanku Abdul Halim pernah memegang jawatan yang sama pada saat
transisi 1970 sewaktu negara sedang pulih daripada tragedi rusuhan tahun
sebelumnya; di mana parlimen telah digantung dalam keadaan hubungan
antara kaum yang sedang retak dan tegang.
“Kali ini pula, Seri Paduka sekali lagi menaiki takhta dalam keadaan
negara berada di persimpangan jalan. Sejak tahun 2008 rakyat Malaysia
sudah mula menyuarakan rintihan mereka,” katanya kepada hampir 3,000
perwakilan PAS, PKR dan DAP yang membentuk Pakatan Rakyat dari seluruh
negara.
Menurutnya, beliau masih ingat selepas transisi, PAS telah menyertai
Barisan Nasional yang baru ditubuhkan pada awal 1970-an sebagai
menggantikan Perikatan.
“Saya juga harap PAS akan sekali lagi menyertai Kerajaan Persekutuan,
cuma kali ini bukan dengan Barisan Nasional tetapi bersama parti DAP
dan PKR dalam Kerajaan Pakatan Rakyat!” tambah beliau, disambut gelak
tawa oleh para hadirin.
Tunku Aziz menjelaskan tentang berkurangnya kepercayaan rakyat
terhadap institusi awam berikutan gejala korupsi yang menular di segenap
lapis badan-badan kerajaan yang menjejas proesionalisme dan kredibiliti
mereka sebagai pemegang amanah rakyat.
“Malaysia telah mencatat prestasi terburuk selama 20 tahun, dan kadar
CPI kita telah menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3.
Dalam skala 1 hingga 10, 10 adalah yang terbaik. Ini jelas menunjukkan
kegagalan usaha Kerajaan Pusat untuk membasmi gejala rasuah,” ujar
beliau.
Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi tugas Pakatan Rakyat untuk
melaksanakan agenda perubahan demi memulihkan perkhidmatan awam daripada
penyakit yang disebabkan oleh tadbiran korup UMNO dan Barisan Nasional.
“Kerajaan BN tidak berminat untuk melakukan reformasi institusi.
Sebaliknya, mereka sedang mengambil kesempatan ke atas
kelemahan-kelemahan yang sedia ada.
“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai kerajaan yang
akan datang untuk memulihkan institusi-institusi awam demi menyelamatkan
negara kita,” kata beliau. – Roketkini.com
Konvensyen Pakatan Rakyat kali ini dengan slogan ‘Bersihkan Malaysia’
berlangsung selama satu hari dan akan ditutup pada malam nanti dengan
Rapat Rakyat bersama pimpinan utama Pakatan Rakyat. Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.