Haji Azhari bin Ismail merupakan seorang veteran DAP, mempunyai
lulusan Pengajian Syariah dan pernah bertanding menentang bekas Menteri
Kesihatan MCA Datuk Chua Jui Meng pada PRU 2004 di Parlimen Bakri,
Johor. Kini beliau bergiat aktif membantu warga bandaraya di Pusat
Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Bintang. Ikutilah pengalaman suka
duka beliau dalam wawancara bersama wartawan Roketkini Fairuz Azhan.
Boleh saudara ceritakan sedikit sebanyak latar belakang peribadi dan politik saudara?
Nama penuh saya Haji Azhari bin Ismail, lahir di Muar, Johor pada
1952. Saya merupakan anak sulung kepada Ismail bin Dato` Abdullah yang
merupakan bekas Ahli Jawatankuasa PAP Cawangan Muar pada tahun 1964-65.
Saya baru sahaja menamatkan kursus Diploma Eksekutif Pengajian Syariah
di Universiti Malaya.
Minat saya dalam politik bermula di bangku sekolah. Keluarga saya
merupakan keturunan Dato Onn Jaafar. Dan segala impian Dato Onn tercurah
kepada keluarga kami. Aspirasi Dato Onn pada ketika itu adalah untuk
menjadikan UMNO sebuah parti yang berbilang kaum. Tetapi idea tersebut
telah ditentang oleh UMNO.
Yang
menyebabkan saya memilih DAP adalah dua perkara. Yang pertama, ketika
saya menetap di Seremban dulu, (pengasas DAP) Dr Chen Man Hin telah
berkempen di rumah saya. Itulah yang menyebabkan saya tercenderung
kerana beliau telah berkempen di setiap rumah orang Melayu. Ini amat
berbeza dengan BN. BN tidak berkempen rumah ke rumah. Dan apabila Dr.
Chen menyatakan aspirasinya di rumah saya, saya amat tertarik kepada
DAP.
Yang kedua, saya bertambah tertarik apabila saya menemui YB Lim Kit Siang yang baru sahaja dibicarakan di bawah Akta Hasutan.
Saya mula menyertai bidang politik ini apabila saya terlihat satu
iklan di akhbar yang mengiklankan jawatan Setiausaha Politik kepada Lee
Lam Thye (bekas Ahli Parlimen DAP yang kini menjadi penggiat masyarakat
bergelar Tan Sri). Saya pun memohon dan pergi ke interviu. Antara tugas
yang diberikan semasa interviu tersebut ialah saya diminta menterjemah
kenyataan-kenyataan media beliau secara ‘on the spot’. Saya
ingat saya tak kan dapat kerja tersebut kerana orang lain yang turut
berebut pekerjaan tersebut merupakan graduan-graduan. Tapi tidak lama
selepas itu saya telah mendapat panggilan telefon di mana beliau telah
menawarkan saya pekerjaan tersebut.
Dari situlah bermulanya penglibatan dan pembelajaran saya dalam
bidang politik dan DAP. Malangnya beliau telah keluar dari parti dan
bersara pada tahun 1990. Selepas itu saya berkerja dengan Fong Kui Lun.
Walau pun Tan Sri Lee Lam Thye pernah memberi tawaran berkerja kembali
dengan beliau di luar dunia politik, atas minat dan semangat saya dalam
politik saya memilih berkerja dengan Fong Kui Lun. Dan pada waktu itu
Fong menjadi MP untuk Kuala Lumpur-Bandar (kini Bukit Bintang). Saya pun
tak tahu apa yang saya buat, tapi orang selalu menegur saya mengucapkan
terima kasih kepada saya kerana membantu mereka. Itu antara pengalaman
positif.
Pengalaman negatif pula, orang selalu tanya kepada saya, mengapa awak ‘dedicate’
hidup awak dalam DAP? Pilih la parti lain. Tapi tak boleh. Saya telah
menyertai sebuah parti yang sesuai dengan jiwa saya. Saya dalam DAP ini
tiada jawatan penting. Saya di Wilayah Persekutuan hanya sekadar
Penolong Setiausaha DAP Kuala Lumpur. Pernah juga menjadi Naib Pengerusi
Wilayah, tapi jawatan semua ini saya tak minat.
Mengapa saudara memilih DAP sebagai wadah perjuangan? Apa istimewanya DAP?
Walau pun DAP ini orang kata cauvinis Cina, perkauman dan sebagainya,
orang lupa bahawa UMNO itu hanya untuk orang Melayu, tiada kaum-kaum
lain. DAP bersifat semua kaum dan semua kaum diperjuangkan. Tapi suara
orang Melayu dalam DAP tidak kedengaran kerana tiada atau kurang orang
Melayu dalam DAP. Apabila kita bawakan hal-ehwal Islam di Parlimen,
kerajaan tidak menjawab. Contohnya isu tanah wakaf Kuala Lumpur. Soalan
tersebut, paling belakang sekali dalam senarai soalan. Saya memang suka
dengan DAP kerana ia parti yang memperjuangkan semua orang, semua kaum.
Semua orang sama-rata dalam DAP, maksudnya, tiada apa beza antara kita
sebagai manusia.
Semua orang berhak, namun semua orang kena sama-sama berkerja.
Selepas Lee Lam Thye bersara dulu, ramai orang cuba memujuk saya
menyertai UMNO, tapi saya tak nak. Saya bahagia di DAP, bukan pendapatan
yang kita kejar tetapi kepuasan membantu orang ramai. Yang datang
berjumpa dengan kita adalah orang yang ‘desperate’ dengan UMNO-BN itu sendiri.
Bila ambil gambar masuk surat khabar, itu cara BN menolong. Namun,
bila masalah sebenar mereka tidak dapat diselesaikan, mereka datang ke
kita dan kita sedia membantu mereka. Itu yang sepatutnya saya kira.
Kalau nak tolong orang, tolonglah sampai berjaya. Jika tidak berjaya
pun, buat yang terbaik untuk menolong orang.
Di DAP saya tidak nampak langsung bagaimana mereka membezakan kaum
mereka menolong semua orang tanpa melihat warna kulit dan saya serasi
dengan perjuangan sedemikian.
Saudara boleh dianggap veteran Melayu dalam DAP. Pada
pengamatan saudara, bagaimana penerimaan orang Melayu terhadap DAP dari
tempoh saudara terlibat dalam DAP sehingga hari ini?
Bila saya mula masuk dulu, memang saya dikutuk habis-habisan. Apalah join
DAP, parti Cina, pengkhianat bangsa, macam-macam orang tomah saya.
Sehinggakan apabila saya menentang Datuk Chua Jui Meng di Bakri, orang
Melayu memaki saya, “Apalah engkau ini menolong Cina! Kenapa engkau tak
tolong Melayu?”. Saya amat harian, bukankah lawan saya orang Cina BN?
Apa bezanya? Sampai kan keluarga saya pun tak mahu pangkah saya, tapi
tidak mengapa, itu hak masing-masing.
Pada pendapat saudara, perlukah DAP mendekatkan diri kepada masyarakat Melayu?
Pada pandangan saya, DAP harus menjadi sebuah parti yang baik. Ia
harus menjadi parti yang baik dan bersih dan secara semula jadi orang
Melayu akan tertarik. Dari dulu sampai sekarang, ada sahaja orang Melayu
yang menyertai parti, malah zaman bila saya mula masuk memang orang
Melayu beratur untuk menyertai DAP. Namun mana mereka pada hari ini?
Ramai masuk kerana ada kepentingan. Nak lesen, nak pertolongan, nak itu,
nak ini, tapi dalam DAP tiada semua ini.
Yang ada di DAP hanyalah perjuangan. Kerja keras, bantu rakyat, itu
sahaja. Kalau nak berniaga, nak harta, bukan di sini. Yang tak dapat
bertanding, lari, tak dapat lesen, cabut, Tapi bukan hanya parti kita
saja yang mengalami masalah ini. Masalah ini kita lihat di mana-mana
seluruh negara pun ada.
Jadi tugas kita di DAP adalah untuk menjadi sebuah parti yang baik
dan mempunyai idealisma yang baik yang boleh menyebabkan semua orang
tertarik. Contohnya, pergi ke DAP, masalah selesai. Pergi DAP, boleh
dapat bantuan.
Semasa Persidangan Kebangsaan DAP 2012 baru-baru ini, saya nak naik
ke pentas tapi tak sempat. Saya ingin mengetengahkan isu masalah sekolah
agama. Kini kerajaan bagi token RM100 pada pelajar sekolah dan RM200
untuk pelajar universiti.
Namun apakah bantuan untuk sekolah agama? Mereka kena bayar yuran,
buku teks, pakaian dekat RM200-300. Sekolah Agama ni, sekolah kerajaan
juga. Bagilah sesuatu untuk mereka juga. Sekurang-kurangnya pengecualian
yuran. Sebab apa, sekolah agama di KL ditadbir oleh Majilis Agama
Islam. Dan wang zakat Majlis Agama Islam adalah RM280 juta. Mana duit
itu pergi? Mereka ini bukankah asnaf?
Bukannya kita di DAP tidak boleh berkempen untuk orang Melayu, boleh.
Tapi kita kena menjelaskan konsep parti, Malaysian Malaysia yang
dibawa, apa yang parti dah capai, apa parti akan bawa. Kita kena
jelaskan kepada mereka, dan terpulanglah kepada mereka.
Contohnya CAT (cekap, akauntabel, telus). Jika kita berjaya, ia adalah satu ‘catalyst’.
Orang Melayu dah nampak dan mula berfikir. Boleh ke Lim Guan Eng
membawa kemakmuran kepada semua orang di Pulau Pinang? Pendapatan
bertambah, tiada rasuah, yang susah dibantu, kemiskinan tegar
dihapuskan. Perkara-pekara seperti inilah yang dilihat.
Di sini pendidikan politik sangat penting. Kita harus mendidik rakyat
dengan hal perihal negara. Mungkin kursus ekonomi, diskusi tentang
dasar dan sebagainya. Jadi bila para Yang Berhormat berdebat di
Parlimen, orang ramai faham dan tahu apa pendirian dan perjuangan DAP.
Malah dulu terdapat ramai tokoh Melayu ‘hardcore’ dalam DAP.
Ahmad Ton, Zulkifli Mat Noor, Ibrahim Singgeh, dan sebagainya tapi pada
hari ini, kurang penyambung perjuangan mereka. Bagi saya, apa
perjuangan yang betul saya ikut. Kalau kita berkerja dan membantu orang,
saya ikhlas. Tawaran nak jadi calon ke, apa ke, itu nombor dua.
Baru-baru ini, dua veteran UMNO telah menyertai DAP iaitu
Aspan Alias dan Datuk Ariff Mohd Sabri. Sebagai seorang veteran DAP, apa
komen saudara tentang kemasukan mereka berdua?
Ia amat baik dan saya mengalu-alukan mereka. Kemasukan orang Melayu
dalam DAP janganlah disekat. Siapa nak masuk, kita kena buka pintu.
Syaratnya, mereka kena ikut perjuangan, konsep, dan peraturan DAP.
Mereka juga kena merasa asam garam menjadi ahli DAP, turun padang, jumpa
pengundi, dan sebagainya. Mereka ini ahli politik yang veteran dari kem
yang lain. Dan suasana dan pengalamannya berbeza. Inilah budaya DAP dan
mereka harus tahan dan pertahan budaya DAP.
Yang pertama, konsep kita adalah konsep suka rela. Kerjanya penat
tiada imbuhan atau bayaran, semuanya sukarela. Mungkin di kem lagi satu
budayanya berbeza, mungkin ada wang, imbuhan dan sebagainya. Itu harus
difahami, bahawa konsep kita di DAP segalanya adalah atas kesukarelaan.
Nanti bila tak dapat peluang dan sebagainya, nak cabut, itu susahlah.
Tapi jika nak perjuangkan kesamarataan, bangsa Malaysia, kita amat
mengalu-alukan mereka. Malah kita mengalukan sesiapa sahaja, tidak kira
pangkat, kerja ke, pelajar ke. Lagi ramai dalam perjuangan kita lagi
baik.
Sebenarnya, apabila lebih ramai orang Melayu menyertai DAP, wajah DAP
itu akan bertukar. Dah tiada lagi dah wajah keCinaan dan menjadi
keMalaysiaan. Kita lihat sahaja pada Persidangan DAP baru-baru ini saya
tak pernah terbayang Kadazan, Iban, Murut, semuanya boleh datang. Ini
mencerminkan Malaysian Malaysia DAP.
Namun atas kertas, mereka tergolong sebagai bangsa “lain-lain”. Apa
ini? Sedangkan mereka juga rakyat dan warga negara. Hidup mereka
bagaikan di zaman James Brooke, sangat daif sedang Sarawak sebuah negeri
yang amat makmur.
Bila kita masuk persidangan UMNO, kita tak mungkin jumpa semua ini.
Balik-balik cerita hak istimewa Melayu, hak istimewa Melayu. Tapi saya
sebagai orang Melayu pun tak dapat rasa apa-apa. Lesen ke, peluang ke,
kontrak ke…Bila minta secara sah tak pernah dapat sebab saya dicop ahli
DAP. Kalau nak bagi, bagilah sama adil. Ini UMNOputra aje yang dapat.
Nak kontrak besar kena jadi ahli UMNO. Mana boleh macam tu. Kita mahukan
keadilan dan kesamarataan.
Bolehkah saudara ceritakan sedikit pengalaman semasa bertanding di Parlimen Bakri dalam PRU 2004 dahulu?
Waktu tersebut, saya telah tewas kerana undi orang Melayu. Di kampung
saya 95 peratus orang telah mengundi saya. Seteru saya Datuk Chua Jui
Meng memang sebelum ini tidak pernah melawati kawasan tersebut mahu pun
turun padang. Namun bila mengetahui lawannya ialah saya, orang Muar,
beliau terus datang. Barulah beliau mengambil kisah tentang rakyat
disini. Barulah ada jalan, projek sana sini dan sebagainya.
Orang jumpa saya dan berkata, “Tuan Haji, baru sekarang Datuk Chua
turun padang dan memberi bantuan. Selama ini tidak pernah datang.” Saya
balas, “Alhamdulillah-lah. Disebabkan saya bertanding, orang kampung
dapat rasa bantuan dan pembangunan.” Tapi masa tu sokongan rakyat
terhadap BN memang kuat, tidak macam sekarang, faktor Anwar, pekauman
melampau, orang Melayu fed-up dengan UMNO, dan kita berharap ombak kesedaran ini akan terus kekal menjelang PRU 13 nanti.
Bagi saya, saya ikhlas, sebelum solat Subuh saya niatkan dalam hati
macam mana nak bantu orang hari ini. Bila kita berdoa, niat kita baik,
Allah akan mempermudahkan. Orang berjumpa kita minta sedekah, orang nak
minta wang kerana tidak boleh makan, tersadai di PuduRaya semuanya
datang ke sini (Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Bukit Bintang).
Di KL tiada Ketua Kampung, tiada JKK, orang yang susah semua datang
ke kita. Kalau hantar surat ke Haji Azhari, DAP KL, surat mesti sampai
walau pun tiada alamat penuh. Saya tanya posmen, macam tahu? Dia kata
semua orang tahu, itu yang kita pelik tu. Ini lebih besar dari PM!
(ketawa)
Yang penting niat dan cara kita. Dan saya lihat wadah DAP ini saya
lihat tiada masalah bagi saya. Tak pernah ahli DAP kata, “Azhari, mari
kita makan babi, mari kita minum ke”, tak ada dan tak pernah. Bila saya
ikut mereka dan tiba waktu solat, mereka kata, “Eh, Azhari, dah tiba
waktu solat, mana mahu berhenti? Di masjid mana? Tak pe, kita tunggu”.
Bila makan bungkus, mereka mencari makanan yang halal untuk saya. Mereka
sentiasa hormat kepercayaan saya dan menjaga saya. Untuk parti-parti
lain di sana, saya tak tahulah macam mana pula.
Bagaimana kita boleh mengubah persepsi negatif ciptaan UMNO-BN terhadap DAP dan menyatakan kebenaran secara jelas dan berkesan?
Ini semua peranan media. Inilah permainan kotor media UMNO sejak saya
dibangku sekolah. DAP dihentam sana-sini, dipersalahkan kerana 13 Mei
dan sebagainya. Saya anggap semua itu positif. Asakan daripada media
cetak, elektronik, ucapan pemimpin yang mengatakan DAP anti-Islam,
pro-Kristian dan sebagainya.
Kita nak lawan media mereka macam mana? Memang tak boleh dan amat
sukar. Tapi Alhamdulillah kita sekarang ada internet. Dan segala peluang
yang kita ada, meski pun sedikit, biarlah sekadar ucapan sekali pun,
kita mesti menceritakan kebaikan DAP. Itu sahaja cara kita, kalau nak
lawan media mereka memang tak boleh lawan. Jika mereka tak tomah kita,
macam mana mereka nak menang?
Bagi saya, saya tak terkesan, biarlah mereka nak kata apa pun. Saya
dah macam lali. Asalkan solat saya tunaikan, Ramadhan saya puasa,
kebaikan saya buat, orang minta tolong saya tolong, maka saya tak
terjejas apa pun dengan tomahan dan fitnah mereka. Ini semua perang
saraf.
Oleh itu kita pun kena tingkatkan lebih-lebih lagi pilihan raya yang
nak datang ni. Macam-macam cerita keluar. Hari tu (Timbalan Presiden
UMNO) Tan Sri Muhyiddin Yassin belasah saya dalam Persidangan UMNO
sebagai ‘si Melayu DAP yang malang’.
Dia kenal saya sebab kami sama-sama orang Muar. Tak pe lah jika
beliau nak kata saya, biarlah saya tidak menjadi wakil rakyat, asalkan
saya dapat membantu orang ramai. Tak pe lah pejabat kami buruk, tiada
minuman atau pun makanan, tapi kita senang berkhidmat untuk orang.
Daripada bangunan tinggi-tinggi, rasuah, buat kerja bukan-bukan, ini
semua tidak guna.
Bagaimana persiapan DAP dan Pakatan Rakyat untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?
Sebagai AJK saya rasa kini ia amat lancar, kita sudah pun mengurus
pembahagian kerusi dan persiapan logistik sedang dijalankan. Bila tiba
musim pilihan raya ni, semuanya bertambah cergaslah. Kita bukan sahaja
dua kali ganda lagi kuat berkerja, malah tiga, empat kali ganda lebih
kuat berkerja. Dan waktu itulah macam-macam orang akan datang. Tak
tahulah spy ke, apa ke, ada-ada saja.
Pada 2008, kita sendiri tak sangka kemenangan kita. Waktu itu saya
menjaga Bukit Bintang, saya tak bertanding, saya menjaga undi pos
tentera dan askar. Undi pos pun banyak menyebelahi kita. Di kawasan ini
terdapat 5,000 undi pos, macam mana DAP boleh menang ini? Seteru kami
menepuk dahi, macam manalah DAP boleh menang dan dapat undi pos yang
besar? Itu yang mereka buat bantahan di mahkamah, tapi mereka kalah.
Berdasarkan pengalaman saudara di Wilayah Persekutuan, apakah yang diinginkan oleh warga Kuala Lumpur?
Pada hemat saya, warga KL lebih cenderung kepada PR berbanding BN.
Ini kerana saya lihat kebanyakan mereka mempunyai fikiran yang anti-establishment.
Saya lihat parti-parti BN seperti MCA, Gerakan, perlu kerja lebih kuat
di kawasan ini macam mana DAP harus kerja lebih kuat di kawasan majoriti
Melayu. Juga yang saya lihat sokongan masyarakat Cina terhadap dua
parti tersebut dan BN semakin merosot dan mereka hanya positif terhadap
DAP sahaja. Jika DAP tiada di sini, mereka akan mencari parti alternatif
yang boleh menyuarakan pendapat mereka. Oleh itu kita dapati DAP berada
di tempat yang betul.
Masalahnya di luar bandar, letak apa pun mereka akan cenderung kepada BN. Memang payah nak ubah. Oleh itu kini Johor dianggap frontline state.
Macam mana kita nak ubah tu? Nak ubah dalam sekelip mata memang tak
boleh. Oleh itu pendidikan politik amat penting. Jika dulu PAS dengan
DAP dilihat tidak ngam, tapi lama kelamaan, kita boleh berkerjasama.
Mungkin dengan lebih banyak pendedahan dan pendidikan politik,
masyarakat luar bandar akan lebih terima perjuangan kita.
Apa pesanan yang ingin disampaikan saudara kepada warga kota?
Negeri-negeri lain di Malaysia, semua ada peruntukan. Walau pun kita
sudah menjadi wakil rakyat di sini berpuluh-puluh tahun, kita di Kuala
Lumpur tidak pernah mendapat peruntukan. Sedangkan memang ada peruntukan
untuk kita dari kerajaan pusat. Walau pun ada peruntukan, mereka hanya
salurkan peruntukan tersebut kepada calon mereka dan parti mereka.
Contohnya di sini, Ketua Bahagian MCA yang mengambil duit yang
sepatutnya milik kita. Saya difahamkan hampir RM500 juta. Duit inilah
yang kita patut salurkan kepada rakyat, dan pembangunan kecil. Contohnya
surau, bila mereka minta peruntukan tak dapat. Tapi bila kita tulis
surat kepada Bahagian Pembangunan Wilayah, barulah disaluarkan.
Terpaksalah buat baik dengan Menteri Wilayah Persekutuan. Yang minta pun
orang Islam lantas dia pun bagi. Tapi kita tak gembar-gemburkan segala
apa yang kita buat.
Apa yang warga KL mahukan ialah sebuah kerajaan tempatan yang
dipilih, Datuk Bandar yang dipilih oleh rakyat. Rakyat KL sudah lama
inginkan ini dan ia sudah lama diperjuangkan. Tapi kerajaan pusat BN tak
kan bersetuju kerana ia menjejaskan kepentingan politik mereka.
Rakyat Kuala Lumpur bagi saya sudah tahu kebolehan dan budaya kerja
kita di DAP. Jumlah orang meminta tolong kita ramai. Orang pergi ke
pusat khidmat BN dan tak dibantu, akan mencari kita. Jadi rakyat
tahulah. Kita nak cakap lebih pun tak boleh.
Pesan saya kepada orang Melayu ialah janganlah takut untuk menyertai
atau mengundi DAP. Segala tomahan jahat BN terhadap DAP adalah palsu
belaka. Bukannya masuk DAP ni mereka akan kafirkan kita, tidak sama
sekali. Namun demikian, kita kena jagalah amalan kita sebagai orang
Islam.
DAP ialah wadah yang baik untuk perjuangan politik. Walau pun
kononnya BN memperjuangkan semua kaum MCA, MIC dan sebagainya, tapi kita
di DAP tidak berpecah belah kerana kita merupakan satu parti. Itu yang
bagusnya kita. Di sini semua peringkat kemimpinan boleh menghadiri
kongres kita. Tidak ada beza bahagian mahu pun cawangan. Kami di DAP
semuanya sama. Semua orang mempunyai peluangan dan pendedahan yang sama
rata. Itu yang menarik bagi saya di DAP.
Akhir sekali jika terdapat apa-apa keraguan orang Islam atau pun
fitnah pihak BN, saya sendiri telah bertanya kepada Datuk Mufti Wilayah
Persekutuan, apakah hukum bagi orang Islam macam saya ini menjadi ahli
DAP dan berkerja dengan DAP – beliau menjawab bahawa ia adalah harus.
Oleh itu, DAP sentiasa mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja dalam
parti, tapi apa yang penting mereka memahami agenda perjuangan kita,
bukan untuk mendapat pangkat atau harta yang banyak. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.