ALOR SETAR, 14 JAN: Kerajaan negeri yang dipilih rakyat harus
dihormati oleh kerajaan pusat sebagaimana Pakatan Rakyat akan
menghormati negeri Barisan Nasional apabila berlaku perubahan
pemerintahan persekutuan kelak.
Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata, keadaan peruntukan kewangan
dan hubungan antara persekutuan dan negeri yang berlakus ekarang tidak
menepati konsep federalisme dan demokrasi sebenar.
“BN tidak hormat konsep federalisme, terutamanya dengan negeri-negeri
yang ditadbir Pakatan Rakyat,” katanya sewaktu membentangkan kertas
kerja pengukuhan federalisme di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di sini
hari ini.
Beliau memberi contoh penafian royalti minyak negeri Kelantan dan Terengganu oleh kerajaan pusat kawalan UMNO-BN.
“Royalti minyak 5 peratus merupakan 80 peratus dari jumlah belanjawan
negeri Terengganu. Wang tersebut tiba-tiba menjadi wang ehsan yang
disalurkan melalui ahli-ahli politik UMNO yang membolehkan mereka menang
semula kerajaan negeri (pada 2004).
“Rakyat Terengganu tidak akan dapat keadilan jika BN kekal di pusat,” tambah beliau.
Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah turut menyebut perihal dana
pembangunan negeri Pakatan Rakyat yang telah disalurkan melalui Pegawai
Pembangunan Negeri yang dikawal Jabatan Perdana Menteri.
“Kerajaan negeri tidak ada kuasa ke atas dana negeri mereka sendiri,” jelasnya.
Beliau membentangkan lima Tawaran Jingga Pakatan Rakyat untuk perkukuh federalisme:
1. Sebahagian hasil yang dikutip di peringkat pusat akan
diperuntukkan kepada negeri-negeri, bersekalian dengan penyerahan kuasa
kepada negeri untuk menggunakan dana tersebut mengikut budi bicara.
Belanjawan kerajaan negeri akan dipertingkat melalui geran perkapita
dan geran pembangunan ekonomi di samping royalti minyak dan gas, bagi
memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta
pembangunan sosial untuk membasmi kemiskinan di negeri-negeri yang
memerlukan.
2. Pastikan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dengan
mempertingkat bidang kuasa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan
Jabatan Ketua Audit Negara supaya dapat mengambil tindakan dan mendapat
kuasa pendakwaan bebas.
3. Agih kuasa pusat dalam perkara-perkara yang sepatutnya menjadi
tanggungjawab negeri dan kerajaan tempatan seperti soal pengangkutan
awam yang sedang dimonopoli syarikat-syarikat tertentu yang masih gagal
memberikan khidmat yang memuaskan.
4. Mengkaji semula undang-undang yang melindungi monopoli kerajaan
dan menyekat perdagangan antara-negeri dan antarabangsa. Undang-undang
seperti Dasar Sabotaj Kebangsaan di Sabah dan Sarawak telah
mengakibatkan kenaikan harga barang yang secara langsung meningkatkan
kos sara hidup.
5. Iktiraf kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak serta menegaskan
semula komitmen untuk mendukung dan mengukuhkan Perjanjian 20 Perkara
dengan Sarawak dan Sabah; dengan meningkatkan perwakilan kedua-duanya
dalam perkhidmatan awam, di samping meningkatkan autonomi dalam bidang
pendidikan. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.