14 JANUARI – PAS telah berevolusi dengan persekitarannya. Kini, PAS
kita lihat bukan lagi sebagai parti yang memperjuangkan slogan seperti
UMNO semata-mata, sebaliknya ia sudah menjadi sebuah parti yang mahu
melaksanakan isi kandungan dari slogan-slogannya.
Dengan agenda Negara Berkebajikan, maka matlamat perjuangan PAS
dengan PKR dan DAP semakin bertemu di satu titik yang sama di mana dasar
berkebajikan ini cukup ideal dan boleh disadap oleh pelbagai pihak,
baik Islam mahu pun bukan Islam.
Ini merupakan satu sejarah besar dalam politik Malaysia. Malah Negara
Berkebajikan telah berjaya meroboh mitos ciptaan UMNO yang memomokkan
bahawa PAS dan DAP tidak boleh berjuang atas satu landasan yang sama.
Inilah politik pintar PAS.
Salah contoh
Membaca ungkapan Subky Latif dalam rencana “Politik pintar DAP tak
letak calon Melayu” dalam Harakahdaily bertarikh 8 Januari 2012, (http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/7460-politik-pintar-dap-tak-letak-calon-melayu) beliau telah mengulas gaya dan agenda politik DAP. Menarik kerana bernas dan kuat pula hujahnya.
Namun demikian, Subky sebagai wartawan veteran dan mantan pemimpin
PAS telah mengambil contoh pengalaman Lee Kuan Yew, mantan Perdana
Menteri Singapura, sebagai satu perbandingan yang kita anggap tidak
begitu sesuai.
Subky menulis: “Mungkin pengalaman semasa Lee Kuan Yew menjadi
rakyat Malaysia dulu boleh dipelajari. Lee Kuan Yew terlalu cepat
menyatakan politiknya untuk menggantikan Perdana Menteri Melayu 20 tahun
selepas pembentukan Malaysia.”
Mungkin Subky yang kini sudah melepasi usia 70 tahun bertuah kerana
menjadi saksi pergolakan politik tanah air pada 1960-an dahulu tetapi
dalam konteks hari ini, Lee Kuan Yew dan PAP itu lebih banyak
persamaannya dengan UMNO dari segi politik dominasi kuasa dan kekangan
kebebasan serta hak asasi. Lee Kuan Yew dan PAP tidak boleh disamakan
dengan DAP hari ini.
Dengan mengukur politik kaum tahun 1960-an, andaian itu perlu diubah
sekarang. Seharusnya mana-mana parti politik yang berhasrat untuk
mengamalkan politik rentas kaum, yakni parti pelbagai kaum, ia merupakan
suatu cita-cita yang murni.
Ia seharusnya didukung dan digalakkan agar fahaman assabiyah dapat
dilebur perlahan-lahan. Usaha ini perlu dilakukan bersama-sama, yakni
secara jamaah, bukan hanya dari sebelah pihak sahaja.
Malah bukan sahaja fahaman assabiyah ini akan hilang, sebaliknya
semangat persaudaraan itu akan lebih cepat muncul, dibentuk dan
disuburkan.
Perihal UMNO memomokkan rakyat bukanlah isu besar yang harus
dirisaukan. Sudah lebih setengah abad UMNO memainkan lagu yang sama.
Sejak 2008 tohmahan dan fitnah UMNO semakin tidak laku.
Yang menjadi cabaran ialah Pakatan Rakyat sendiri yang harus
menunjukkan teladan dengan mengamalkan kepelbagaian dalam mencorak
politik dan masa depan bangsa.
Subky turut menulis: “Jika DAP meletakkan calon Melayu di
Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain, maka dijadikan
propaganda oleh UMNO bahawa DAP menyedia Menteri Besarnya di situ dan
Menteri Besar Melayu DAP itu tetap mereka momokkan sebagai kuda lumba
DAP.”
Barangkali ramai yang kurang sedar bahawa DAP pada dasarnya tidak
terdesak untuk memastikan pemimpinnya (jika ada Melayu) menjadi Menteri
Besar atau Perdana Menteri. DAP menerima hakikat politik negara.
Sejak ditubuhkan pada 1966, DAP hanya mahu memastikan wujudnya sebuah
kerajaan yang adil dan demokratik, cekap, akauntabel dan telus, serta
memastikan setiap warga mempunyai peluang saksama. Sama ada sebagai
pembangkang dengan dua, tiga kerusi atau sebagai rakan dalam kerajaan
Pakatan, hanya itu sahaja yang diperjuangkan oleh DAP sejak 46 tahun
lalu.
Momok UMNO dan hakikat DAP
Mungkin ada segelintir Melayu memasang cita-cita besar dalam DAP. Itu
lumrah manusia bergelar politikus dalam mana-mana parti termasuk PAS,
PKR, UMNO.
Namun, janganlah lupa – ia tidak semudah itu dalam DAP. Ia melibatkan
soal wibawa seseorang; layakkah jadi calon, mampukah menang dan
sanggupkah menunaikan amanah kepada rakyat.
Sudah menjadi amalan dan budaya DAP, iaitu apa jua kerja politik, ia
berasaskan merit. Tidak banyak ruang untuk kronisme atau kabel politik.
Jadi, Melayu atau apa kaum sekali pun dalam DAP perlu bekerja untuk
rakyat, itu kerja asasi mereka.
Momok UMNO tentang DAP parti rasis, komunis dan cauvinis tidak
menghairankan kita kerana, kepimpinan parti yang rasis dan assabiyah
seperti UMNO itu, pastinya berperwatakan begitu. Buatlah apa pun, sama
ada yang pintar atau tidak, para pemimpin UMNO dan konco-konco mereka
akan terus menabur fitnah.
Justeru, terlalu membenci UMNO atau takut kepada momok UMNO, kadang kala menjerat diri kita sendiri.
Tsunami politik 2008 membuktikan bahawa politik cara lama, khususnya dari sudut perkauman, semakin tidak relevan.
Untuk benar-benar ubah, untuk jujur dan ikhlas selamatkan Malaysia,
dan untuk perkenalkan politik baru yang bersih, adil dan telus, ia
memerlukan anjakan paradigma daripada para pemimpin dan ahli komponen
Pakatan Rakyat sendiri.
Untuk mematikan momok UMNO sebenarnya mudah sahaja. Pastikan Pakatan
Rakyat tidak menari mengikut paluan gendang UMNO. Bergerak atas landasan
bahawa rakyat itu adalah “tuan” tanpa mengira kaum dan agama.
Selepas mandat diberi untuk memerintah Malaysia, maka para pemimpin
Pakatan Rakyat harus mengamalkan urus tadbir cekap, akauntabel dan
telus. Dan apabila amanah diberikan oleh rakyat, jangan pula mahu
bergayut dengan jawatan hingga mati.
DAP dengan pegangan Utamakan Rakyat Malaysia melalui Jalan Tengah
Malaysia bersama perjuangan PKR bagi Keadilan Untuk Semua, amat padan
dengan Negara Berkebajikan PAS. Negara Berkebajikan PAS bukan sahaja
tidak lari dari perjuangan Negara Islam, malah melengkapkan lagi agenda
parti Islam itu untuk rakyat semua kaum dan agama.
Rakyat Malaysia, termasuk kaum Cina, India, Kadazandusun dan Iban,
sudah semakin menerima PAS. Tidak ada sebabnya orang Melayu tidak boleh
menerima DAP dan PKR. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.