14 JANUARI – Terlebih dahulu, saya ingin bermula dengan merafak
sembah dan setinggi-tinggi tahniah di atas perlantikan Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim
Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Persekutuan Malaysia.
Semoga pemerintahan Seri Paduka di atas singgahsana Istana Negara akan
menyemarakkan semangat demokrasi dan hak asasi di kalangan rakyat
jelata. Daulat Tuanku!
Mengimbas sejarah
Perlantikan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk
kali kedua ini telah mengimbas kembali kenangan sejarah negara kita.
Tuanku telah menaiki takhta buat julung kali pada tahun 1970. Pada tahun
itu, negara kita masih lagi dalam proses pemulihan akibat rusuhan tahun
sebelumnya. Parlimen telah digantung dan hubungan antara kaum berada
dalam keadaan retak dan tegang.
Namun demikian, pemerintahan Seri Paduka telah menyaksikan pemulihan
sistem Parlimen serta normalisasi hubungan kaum. Dalam lima tahun
pemerintahannya, Malaysia telah melalui pelbagai peristiwa dan liku-liku
yang penting seperti perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, penjalinan
hubungan rasmi dengan negara China dan penyertaan PAS dalam Kerajaan
Persekutuan melalui Barisan Nasional.
Kali ini pula, Seri Paduka sekali lagi menaiki takhta dalam keadaan
negara berada di persimpangan jalan. Sejak tahun 2008 rakyat Malaysia
sudah mula menyuarakan rintihan mereka. Pada 9 Julai tahun lepas, rakyat
telah bangkit dengan aman untuk mencabar kerajaan yang tamak kuasa dan
rasuah.
Suasana di dunia antarabangsa juga tidak tenteram. Kuasa-kuasa barat
sedang menyusut manakala China dan India makin menonjolkan diri. Diharap
Malaysia akan sekali lagi mengambil tindakan yang wajar untuk
menjalinkan hubungan rapat dengan kedua-dua negara yang bakal menjadi
ekonomi paling besar dunia dalam masa yang terdekat.
Saya juga harap PAS akan sekali lagi menyertai Kerajaan Persekutuan,
cuma kali ini bukan dengan Barisan Nasional tetapi bersama parti DAP dan
PKR dalam Kerajaan Pakatan Rakyat!
Kepercayaan awam terhakis
Saudara-saudari sekalian,
Pada hari ini, tanahair kita perlu diselamatkan daripada gejala
rasuah, korupsi dan penyelewengan amanah awam. Sebagai seorang pengasas
Transparency International di Malaysia, saya ingin menyentuh tentang
Indeks Persepsi Rasuah ataupun CPI yang baru-baru dikeluarkan oleh
Transparency International.
Malaysia telah mencatat prestasi terburuk selama 20 tahun, dan kadar
CPI kita telah menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3.
Dalam skala 1 hingga 10, 10 adalah yang terbaik. Ini jelas menunjukkan
kegagalan usaha Kerajaan Pusat untuk membasmi gejala rasuah.
Yang lebih mencemaskan, kaji selidik umum telah menunjukkan bahawa
rakyat kebanyakan melihat pihak polis dan parti-parti politik sebagai
institusi-institusi yang paling korup dalam negara kita. Bagaimanakah
sesebuah negara itu boleh berfungsi jika rakyatnya tidak mempunyai
kepercayaan terhadap institusi-institusi yang sepatutnya melindungi dan
menjaga mereka?
Perdana Menteri telah mengumumkan Program Transformasi Kerajaan yang
menjanjikan program khusus untuk menangani rasuah. Namun demikian,
ahli-ahli Kabinet beliau sendiri nampaknya tidak terbaca memo tersebut,
apabila kita ada sekarang seorang menteri yang terlibat dalam skandal
yang membabitkan RM250 juta, iaitu skandal projek penternakan lembu di
Gemas, Negeri Sembilan.
Saya tidak ingin bercakap panjang tentang isu ini kerana saya tahu
saudara-saudari sekalian sudah mengetahui lebih tentangnya. Saya cuma
ingin menyatakan bahawa inilah contoh Kerajaan BN yang selalu cakap tak
serupa bikin. Di mana-mana negara lain, menteri tersebut bukan sahaja
akan dipaksa untuk berhenti, beliau juga akan ditangkap dan didakwa atas
sebab pecah amanah. Tetapi di Malaysia, kerana menteri itu hanya
“isteri” kepada pengerusi syarikat, beliau tidak ada kena mengena
dengannya.
Kes projek lembu ini adalah satu contoh jelas bahawa
institusi-institusi negara kita tidak mempunyai sekatan dan imbangan
ataupun “checks and balances” untuk memastikan karenah seperti ini tidak
boleh berlaku. Bagaimanakah boleh wang berjumlah RM250 juta diberi
kepada sebuah syarikat yang berkaitan langsung dengan keluarga menteri?
Inilah soalan pokok yang perlu ditanya.
Perkhidmatan awam tonggak negara
Saudara-saudari sekalian,
Institusi-institusi awam sememangnya menjadi tonggak kepada negara.
Seperti yang kita sedia maklum, kepercayaan kepada institusi-instusi
awam di negara kita sudah pun terhakis. Oleh yang demikian, salah satu
kewajipan Pakatan Rakyat adalah untuk memulihkan institusi-institusi
awam, bermula dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegah
Rasuah Malasysia, Polis, Badan Kehakiman dan lain-lain lagi.
Institusi-institusi awam negara kita pernah pada suatu ketika dahulu
menjadi kebanggaan ramai, bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.
Badan kehakiman kita, perkhidmatan awam kita, semuanya dihormati
negara-negara lain, terutamanya dalam Komanwel. Namun demikian,
ceritanya sudah berbeza sekarang. Kerana itu, kita harus membuat sesuatu
untuk mengembalikan profesionalisme dan kecekapan penjawat-penjawat
awam kita.
Kita harus meningkatkan kemahiran dan produktiviti mereka. Kita juga
harus memastikan bahawa gaji penjawat awam adalah mencukupi dan berdaya
saing, terutamanya mereka yang berada dalam jurusan sokongan dan
pentadbiran dan bukan hanya pegawai-pegawai profesional dan pengurusan
atas.
Perkhidmatan awam perlu diperhalusi dan dihormati dan bukannya
dikurangkan. Saya berharap kita boleh memulihkan perkhidmatan awam
supaya ia akan lebih mencerminkan kemajmukan rakyat, bebas daripada
politik dan bersikap neutral, serta berdaya saing di peringkat
antarabangsa.
Inilah cabaran yang amat penting kepada Pakatan Rakyat. Pembangunan
zahir dan batin negara kita bergantung kepada pembangunan
institusi-institusi awam. Jika rosak institusi-institusi tersebut, maka
rosaklah masa depan negara kita.
Kerajaan BN tidak berminat untuk melakukan reformasi institusi.
Sebaliknya, mereka sedang mengambil kesempatan ke atas
kelemahan-kelemahan yang sedia ada. Oleh itu, adalah menjadi
tanggungjawab kita sebagai Kerajaan yang akan datang untuk memulihkan
institusi-institusi awam demi menyelamatkan negara kita.
Marilah kita sama-sama bersihkan Malaysia! – Roketkini.com
* Ucapan Naib Pengerusi DAP Senator Tunku Abdul Aziz di
Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar, Kedah pada 14 Januari
2012
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.