Secara umum,universiti merupakan sebuah institusi pengajian tinggi untuk
menimba ilmu. Universiti wujud sejak berkurun masa yang lampau,
Universiti Al-Azhar (970 SM) dikenalpasti antara universiti terawal yang
diwujudkan. Kemudiannya diikuti oleh penubuhan universiti-universiti
yang ternama seperti Bologna, Oxford dan Cambridge. Universiti Malaya
merupakan universiti tertua yang wujud di Malaysia diikuti dengan
kewujudan pelbagai IPTA mahupun IPTS yang berkembang pesat dari semasa
ke semasa. Namun dalam keghairahan kewujudan universiti tersebut sudah
tiba masanya untuk kita melihat kembali apakah fungsi, peranan dan
tanggungjawab sebenar kewujudan sesebuah universiti.
Impian
semua adalah untuk menjadikan universiti kita ulung (Saifuddin
Abdullah). Adakah universiti semata-mata menjadi ulung kerana memenangi
banyak pingat emas pertandingan antarabangsa? Ataupun sudah cukup
memadai dengan hanya berlumba-lumba mendapatkan ranking yang baik saban
tahun. Hakikat yang perlu disedari bahawa universiti juga mempunyai
tanggungjawab sosial yang besar dalam bersama-sama membina negara
Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.
Tetapi hasrat murni
tersebut tidak mungkin mampu direalisasikan selagi universiti tempatan
terus dicengkam oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Universiti
sewajarnya menjadi sebuah institusi yang bebas daripada segala
keterikatan dan campur tangan politik. Universiti mesti diberikan kuasa
autonomi dan ditadbir urus dengan penuh ketelusan mengikut acuan
sendiri. Institusi ini mesti tampil sebagai penyelesai kepada
permasalahan masyarakat, pencetus idea baru dan menjadi rujukan utama
dalam segala keperihalan berkaitan masyarakat bersesuaian dengan
pengiktirafan masyarakat umum yang memandang universiti sebagai sebuah
institusi sosial yang terulung.
Universiti perlu memikirkan
apakah sumbangan mereka kepada seluruh masyarakat dan negara dalam
konteks yang lebih luas dan menyeluruh. Tembok di antara universiti dan
masyarakat perlu dipecahkan di mana mahasiswa dan tenaga akademik
berperanan menguasai keilmuan di universiti dan kemudiannya mengekstrak
keilmuan tersebut dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat umum,
supaya masyarakat menjadi lebih celik dan tidak ketinggalan mendepani
cabaran semasa. Sudah tiba masanya peranan dan tanggungjawab universiti
tempatan dilihat kembali agar institusi ini terus relevan sebagai
institusi perkembangan keilmuan ke arah pembinaan peradaban manusia pada
masa hadapan.
*Kenyataan media oleh Muhamad Fazli Bin Abdul Halim selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.