
Anwar Ibrahim, 65, berucap di depan lebih 2,500 orang di dalam dan di luar Dewan Gasing Indah, Lembah Pantai semalam, menyatakan keyakinan dirinya bahawa masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia ini mampu mencipta sejarah untuk menjatuhkan kerajaan yang korup dalam PRU 13. Malah, kumpulan-kumpulan seperti PERKASA bakal difailkan ke dalam muzium sejarah Malaysia selepas itu.
Jangan hanya cakap pasal penderitaan
Anwar pernah dipenjarakan selama enam tahun, sebelum dibebaskan pada 2 September 2004. Ketua Umum Parti Keadilan ini berkongsi hikmah di sebalik itu, mendakwa bahawa pengalaman yang dilaluinya menjadikan dirinya lebih matang ketika membincangkan soal kaum. Malah beliau berkongsi nasihat Tok Guru kepadanya, jangan hanya lihat kepada penderitaan, tetapi pengalaman tersebut menjadikan dirinya lebih sedar masalah rakyat sebagai seorang pemimpin.

Anwar memulakan ucapannya dengan kebangkitan mahasiswa, yang seharusnya berperanan sebagai suara hati masyarakat. Dengan nada sinis, beliau menyindir bagaimana sesetengah siswa sekarang mencium tangan menteri korup yang menindas rakyat.
Kemudian beliau mengisahkan pengalamannya ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan, berpeluang ke Kampung Kerinchi yang perjalanannya 10 minit dari pejabatnya di Jalan Duta, melihat sendiri betapa miskin dan robeknya keadaan di sana, tatkala dipuji dengan angka pertumbuhan ekonomi yang besar dan megah.

Malah, mengambil contoh bagaimana seorang wanita dari keluarga miskin dihukum kerana meminum arak, tetapi Menteri yang menyalahgunakan wang zakat dipertahankan, Anwar berkata dirinya tidak menggalakkan orang minum arak, tetapi menganggap sistem ini tidak adil apabila mereka yang miskin dihukum, pada masa yang sama, orang yang kaya dan berkuasa dibiarkan bermaharajalela.
Beliau mengulangi tiga kemungkinan yang dihadapinya pada 9 Januari, pertama, tidak bersalah dan dibebaskan, kedua, dihukum tetapi diikat jamin dan ketiga, dipenjarakan terus. Beliau mendakwa dirinya tidak terusik dengan keputusan 9 Januari, menekankan bahawa beliau akan teruskan usahanya, malah menyeru rakyat bersamanya untuk menjatuhkan kerajaan yang korup dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Turut hadir memberi ucapan termasuk bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdul Aziz Bari, aktivis sosial Hishamuddin Rais, Setiausaha Menteri Besar Selangor Faekah Husin, selain ahli parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.