
Sebagai kesudahannya, kerajaan meminda Akta Polis yang menyekat perhimpunan rakyat, digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman yang "menyekat hak berhimpun atas nama perhimpunan aman". RUU Perhimpunan Aman yang mengharamkan protes jalanan tidak dirunding secara terbuka dengan rakyat, diluluskan tiga bacaannya dengan pantas dalam tempoh seminggu. Langkah ini mencungkil pertikaian sama ada kerajaan berniat untuk menyekat perhimpunan BERSIH 3.0 dan mengelakkan ketibaan "Arab Spring" ke Malaysia.
Seandainya dikatakan pengumuman Najib pada malam sebelum Hari Malaysia itu menjelmakan semula imaginasi dari rakyat, maka akta yang akhirnya digubal telah menghancurkan segala sisa-baki imaginasi rakyat yang tertinggal.

Dari PRN Sarawak, perhimpunan BERSIH 2.0 hinggalah pindaan dan pemansuhan akta draconian, Najib tampil dengan imej flip-flop, jumud dan mencengkam sejak April 2011 - menjurus kepada kehancuran imej keterbukaan, pembaharuan, mesra rakyat yang cuba dibinanya dalam masa dua tahun - sebagaimana mayat Altantuya Shaariibuu dimusnahkan.
Melaungkan semula "Perpaduan Melayu"
Suasana krisis yang wujud dalam Perhimpunan UMNO dua tahun lalu kembali menjelma di PWTC pada akhir tahun 2011. Cuma, berbeza dengan jalan penyelesaian yang disarankan dua tahun lalu, iaitu "perubahan" dan "transformasi", UMNO mengambil pendekatan yang tradisional dan jalan singkat, dengan melaungkan "perpaduan Melayu".

Ketika berucap dalam sesi penggulungan perhimpunan UMNO, Najib menyeru agar semua orang UMNO bersatu-padu ke medan perang, untuk mengelakkan UMNO hilang kuasa, yang menjurus kepada terkuburnya masa depan orang Melayu - bagai raungan terakhir. Namun, mereka sama ada di dalam mahupun di luar dewan menyedari, bahawa sentimen perkauman yang meletus di pentas itu sekadar hiasan, dan "masa depan Melayu" itu sekadar kata ganti untuk "mata wang kroni UMNO". Hilangnya kuasa UMNO membawa makna jaringan kepentingan UMNO sepanjang puluhan tahun ini akan dirobekkan, dan kroni UMNO bakal jatuh ke tanah. Inilah makna tersirat di sebalik laungan "perpaduan Melayu" oleh pimpinan UMNO.

Keresahan terselit di mana-mana dalam ucapan Najib. Dan beliau sememangnya mempunyai alasan untuk berasa gelisah. Siku-menyiku bermula apabila Najib mengumumkan bahawa pemilihan calon akan dibuat berdasarkan ciri-ciri winnable. Skandal yang melibatkan Menteri UMNO didedahkan satu demi satu. Dari Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil dalam skandal Projek Fidlot Kebangsaan, Timbalan Menteri Kewangan II Awang Adek hinggalah Setiausaha Sulit Kanan untuk kedua-dua orang Najib dan Muhyiddin Yassin yang dituduh menerima "sumbangan" peniaga - dianggap terdedah kerana sabotaj daripada orang dalaman parti.
Di dalam dewan, orang UMNO berikrar taat kepada parti dan bersatu-padu berdepan PRU 13. Di luar dewan, orang UMNO mula bersilat. Bung Mokhtar mendesak Shahrizat Jalil meletak jawatan, Naib Presiden UMNO Zahid Hamidi pula menegur Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah agar tidak menyebelahi siswa-siswi hanya untuk menjadi "hero". Ribut besar diramalkan melanda.
709 adalah pemisah politik
Untuk menyimpulkan tahun 2011, malah pentadbiran Najib selama tiga tahun, perhimpunan BERSIH 2.0 adalah pemisah yang penting. Perubahan yang besar dalam suasana politik Malaysia berlaku selepas 9 Julai 2011. Sebelum 709, BN masih mampu menarik sokongan mereka yang berada di atas pagar dan berpendidikan tinggi dengan imej Najib, namun ia mungkin tidak lagi mujarab seperti dahulu selepas 709.

Empat tahun yang lalu, perhimpunan BERSIH pertama memberi tamparan yang sengit kepada kerajaan Abdullah Ahmad Badawi, sehingga pembangkang berjaya menghakis hampir separuh kuasanya. Selepas empat tahun, perhimpunan BERSIH 2.0 sekali lagi menunjukkan kuasa rakyat, memberi impak besar kepada kerajaan Najib yang asalnya semakin berkobar-kobar semangatnya.
PRU akan datang bukan lagi pertarungan antara pemerintah dengan pembangkang, tetapi pertempuran antara rakyat dengan kerajaan yang korup. (Bahagian kedua, tamat)
Bahagian pertama: Mengimbas tahun 2011: Transformasi Najib bagai susu 1Malaysia
*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 28 Disember 2011.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.