
Saya tidak berbicara tentang politik di sini. Saya hanya ingin berbicara tentang pendidikan.
Kawan saya di sini (laman Facebook penulis) semua tahu, bahawa saya telah mengajukan dua soalan sejak anak sulung saya belajar di sekolah rendah, dua tahun yang lalu. Apa itu pendidikan, dan ke manakah anak kita dibawa dengan pendidikan kita ini?
Namun, bukankah pendidikan seharusnya mendidik anak kita, bagaimana untuk berfikir dan menganalisa? Bukankah pendidikan kita seharusnya mengajar kanak-kanak bagaimana menjadi seorang insan yang baik? Mereka sepatutnya berkemampuan untuk membezakan, antara autoriti yang betul dengan yang salah - dan bukannya mempercayai autoriti sepenuhnya. Mereka boleh akur dan patuh, tetapi anda seharusnya memujuk dan meyakinkan mereka - apa perlunya mereka untuk mematuhi sesuatu?

Namun, kumpulan pelajar ini mampu berfikir, maka mereka menyedari mengapa pentingnya kebebasan akademik. Mereka menyedari bahawa sesuatu yang bernilai untuk mahasiswa dan mahasiswi telah hilang dengan kemunculan AUKU. Mereka tahu. Tetapi mereka bukan berteriak dalam kedai kopi, atau memaki dalam Facebook, atau mencemuh ketika berbual-bual dengan kawan. Mereka tampil ke depan dan meminta agar kerajaan memandang berat isu ini.
Kemudian anda boleh lihat keberanian dan semangat setiakawan yang ada dalam diri mereka ketika membantu kawan mereka. Peristiwa pada awal pagi 1 Januari 2012 berlaku kerana mereka menyatakan sokongan mereka terhadap Adam Adli (yang dipanggil menghadiri prosiding lantaran perbuatannya menurunkan bendera berwajah Najib). Pada hari itu, ramai yang ditangkap kerana menyokong kawan mereka yang dibelasah polis. Mereka tidak meninggalkan situ sebab ketakutan, kerana yang dibelasah itu adalah kawan mereka. Sikap sedemikian gagal ditemui dalam dunia orang dewasa seperti kita.
Apa yang saya nampak dari Adam dan Safwan adalah semangat ini - mereka mempunyai pandangan mereka yang tersendiri, mereka mampu berfikir, mampu menganalisa senario terkini, malah menterjemahkan pandangan mereka kepada tindakan. Semangat sedemikian telah lama hilang dalam diri kita. Sekarang saya mula nampak cahaya, walaupun belum pasti apakah makna di sebalik cahaya ini (maafkan saya, saya hanya seorang ibu, bukan pendidik, malah bukan penganalisa politik).

*Koh Wee Sun ialah seorang suri rumah tangga, antara ibu yang memberikan bunga kepada Muhammad Safwan Anang, Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), setelah beliau dikejarkan ke hospital lantaran keganasan yang berlaku dalam perhimpunan di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi 1 Januari 2012. Bunga ini disampaikan melalui Chua Yee Ling (gambar kanan, baju hijau), ahli Majlis Daerah Hulu Selangor.
**Tulisan ini dipetik, diterjemah dan disunting dari Facebook Koh Wee Sun dengan kebenaran.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.