KUALA LUMPUR, 1 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia
(DPPM) mengerahkan seluruh ahlinya yang berada di sekitar Lembah Klang
dan Perak untuk turun berhimpun di hadapan IPD Tanjung Malim bagi
menuntut pembebasan sekurang-kurangnya 17 mahasiswa yang ditahan polis
sejak malam tadi.
Arahan tersebut dikeluarkan ketuanya, Nasruddin Hassan melalui khidmat pesanan ringkas SMS kepada Harakahdaily pagi ini.
"Semua
pemuda dikerahkan berkumpul secara aman dalam tempoh sekarang ke jam 2
petang di hadapan IPD Tanjung Malim Perak untuk menuntut pembebasan
segera 17 mahasiswa yang ditahan sejak semalam," katanya.
Insiden
malam tadi menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik
Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi Amar Rasyidi
cedera di kepala manakala 17 mahasiswa ditahan.
Mereka ditahan
secara kasar oleh polis ketika sedang mengadakan protes pada Himpunan
Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris
(UPSI) malam tadi.
Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River.
Dalam
pada itu, Nasruddin turut menyelas sikap double standard pihak berkuasa
yang bertindak secara kasar terhadap mahasiswa tetapi pada masa sama
membenarkan himpunan serupa oleh pihak lain termasuk oleh Umno dan
Perkasa di UPSI baru-baru ini.
"DPPM menyelar sikap double
standard PDRM. Umno dan perkasa demo depan UPSI tidak diambil sebarang
tindakan tetapi mahasiswa dibelasah separuh mati," katanya.
Sementara
itu, difahamkan hampir seratus 200 mahasiswa, NGO dan pemimpin politik
sedang berkumpul di hadapan IPD Tanjung Malim bagi menuntut kesemua yang
ditahan dibebaskan dengan segera.
PAS sedia khidmat guaman
Dalam perkembangan lain, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberi
jaminan Pakatan Rakyat khususnya PAS akan menyediakan khidmat guaman
kepada mahasiswa sekiranya didakwa atas sebarang kesalahan.
"PAS,
Pakatan Rakyat akan memberikan khidmat guaman percuma kepada
mahasiswa-mahasiswa ini jika berdepan tindakan mahkamah," katanya yang
dalam perjalanan dari IPD Tanjung Malim ke Hospital Slim River untuk
melawat Safwan.
Beliau berkata, Lajnah Guaman dan Undang–Undang
PAS Pusat dan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan
Pemuda PAS Malaysia bersedia memberikan khidmat mereka kerana isu ini
melibatkan kebebasan mahasiswa.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.