KUALA LUMPUR, 1 Jan: Jabatan Undang-undang dan Hak
Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan kesediaan untuk
membantu mahasiswa yang ditahan sewaktu mengadakan protes Auku di UPSI
malam tadi.
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Pengarah
Juham Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, sejak berita penahanan
mahasiswa itu diketahui awal pagi tadi, lima orang peguam juham
diketuainya telah berkampung di Balai Polis Tanjung Malim.
"Juham
bersedia untuk mewakili para mahasiswa tersebut di dalam prosiding
reman yang dipercayai akan dilakukan pada lewat hari ini sekiranya Polis
berhasrat untuk terus menahan mahasiswa-mahasiswa terbabit.
"Juham
menyeru kepada mana-mana pihak termasuk para mahasiswa yang menyaksikan
kejadian tersebut dan yang menjadi mangsa keganasan polis ketika
perhimpunan tersebut untuk tampil ke hadapan dan menghubungi Juham di
talian 013-3506495 dan 013-3006943 bagi membantu pihak Juham
mengumpulkan bukti-bukti keganasan pihak Polis di dalam perhimpunan
tersebut," katanya.
Insiden malam tadi menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan
Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi Amar
Rasyidi cedera di kepala manakala 20 mahasiswa ditahan.
Mereka
ditahan secara kasar oleh polis ketika sedang mengadakan protes pada
Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan
Sultan Idris (UPSI) malam tadi.
Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River.
Menurut Ahmad Zamri lagi, Juham yang terdiri daripada barisan
peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong
para Mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di Mahkamah.
Malah,
Juham juga ujarnya bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman
percuma kepada para Mahasiswa ini sekiranya mereka dipanggil untuk
menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu Juham kepada
gerakan Mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.
"Juham
dengan tegas memberikan amaran kepada pihak Polis yang terbabit dalam
memukul mahasiswa-mahasiswa tersebut untuk bersedia disaman di Mahkamah
oleh para mahasiswa yang terlibat kerana tindakan pihak Polis tersebut
jelas merupakan tindakan yang zalim, tidak munasabah dan bertentangan
dengan norma-norma hak asasi manusia," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.