KUALA LUMPUR, 25 Dis: Kenyataan Datuk Seri Shahrizat
Jalil yang mempersoal 'siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah',
seperti mendedahkan ramai pemimpin Umno terbabit dengan skandal salah
guna kuasa.
Shahrizat selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat yang terpalit dengan skandal projek Pusat Fidlot
Kebangsaan (NFC) mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas tindakan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang memulakan siasatan terhadap
kes itu baru-baru ini.
Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, kenyataan
spontan yang keluar dari mulut Shahrizat yang juga ketua wanita Umno itu
seperti menyindir semua pemimpin Umno agar tidak berlagak bersih dari
masalah.
"Skandal mereka belum terdedah dan masa yang akan menentukan keadaan diri mereka dalam Umno.
"Bagi
DPP Malaysia, tidak ada apa yang memeranjatkan dalam kenyataan
Shahrizat kerana rakyat sudah sinonim bahawa Umno dan rasuah serta
penyelewengan sudah sebati," kata ketua penerangnnya, Riduan Mohd Nor (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya
lagi, kes Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo
yang didapati bersalah kerana rasuah di mahkamah Tinggi Shah Alam
semalam boleh menjadi bukti dan kayu pengukur bahawa pemimpin Umno sukar
untuk dijadikan contoh teladan buat rakyat Malaysia.
Malah ujarnya, selain Khir, ramai lagi pemimpin Umno yang pernah terkait dengan pelbagai skandal.
"Beberapa
tahun lepas, beberapa orang pemimpin kanan Umno pernah dihadapkan ke
Lembaga Disiplin Umno sehingga ke SPRM kerana dakwaan rasuah.
"Malah,
bekas Naib Presiden Umno sendiri turut terbabit dengan rasuah sehingga
terpaksa melepaskan jawatan beliau," katanya lagi.
Dengan isu
skandal penyelewengan dalam NFC pula katanya, ramai percaya bukan
setakat Shahrizat sahaja yang terlibat, malah ramai lagi pemimpin kanan
negara juga boleh dikaitkan dengan kelulusan projek tersebut.
Laporan
Ketua Audit Negara 2010 juga tegasnya, sudah cukup menjadi bukti kepada
rakyat betapa ketirisan dan penyelewengan berlaku dalam kerajaan
pimpinan Umno BN.
"Dalam keadaan demikian, tidak hairanlah Indeks Persepsi Rasuah negara merudum buat tahun ketiga berturut-turut.
"Justeru,
tidak ada apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat dalam negara ini,
melainkan perubahan mesti dibuat oleh rakyat dalam PRU ke 13," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.