1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) didakwa mengalami krisis identiti
oleh Ustaz Abdullah Zaik selaku Presiden Isma berasaskan kenyataan
beberapa individu lalu menyifatkan PAS tidak konsisten dan mengalami
kekeliruan terhadap hala tuju partinya. Asas dakwaan ini tidak valid.
2. Pertama: Saya ucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan
oleh Presiden Isma terhadap PAS sekaligus menarik perhatian umum khasnya
anggota Isma sendiri kepada PAS untuk mengenalinya dengan lebih dekat
dan biasanya apabila dicetuskan sesuatu polemik, maka ia akan menarik
perhatian serta perasaan ingin tahu terhadap perkara tersebut. Dalam kes
ini, PAS menjadi subjek polemik yang dicetuskan oleh Presiden Isma,
sekaligus memberikan publisiti kepada PAS.
3. Kedua: Identiti ialah pengenalan dan jati diri. Apabila kita
bercakap soal identiti PAS, ertinya kita bercakap mengenai pengenalan
dan jati diri PAS. Kepada siapa yang belum mengenali PAS atau buat-buat
tidak kenal, maka izinkan saya memperkenalkan buat kesekian kalinya
setelah PAS ditubuhkan sejak 1951 berasaskan undang-undang tubuhnya.
Inilah Pengenalan dan Jati diri PAS:
a] Fasal 3 . Perlembagaan PAS: Dasar PAS ialah Islam
b] Fasal 4 . Perlembagaan PAS: Seruan PAS ialah Allahu Akbar.
c] Fasal 5 . Perlembagaan PAS: Tujuan PAS ialah:
~ Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan
pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan
hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah .
~ Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .
d] Fasal 6 . Perlembagaan PAS: Usaha-usaha:
~ Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
~ Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya
sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan
nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan
disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan
social serta pelajaran dan pendidikan.
4. Isu Negara Berkebajikan sering dijadikan turning point
untuk menyerang PAS kononnya PAS telah tersasar dari landasan perjuangan
asal iaitu Negara Islam, lalu mereka mendesak supaya PAS kembali
menggunakan istilah Negara Islam bukannya Negara Berkebajikan.
5. Lebih menarik, Umno juga menyatakan demikian sedang Umnolah antara
yang paling kuat menentang hasrat PAS sewaktu PAS menggunakan istilah
Negara Islam sebelum ini. Sekarang apabila PAS menggunakan istilah
Negara Berkebajikan, mereka sibuk pula mendesak supaya PAS tukar kembali
kepada istilah Negara Islam. Mengada-ngada betullah mereka ni!
6. Suka saya jelaskan di sini bahawa langkah dan usaha PAS Membangun
Negara Berkebajikan adalah merupakan Fasa 2 pembinaan Negara Islam.
Setelah PAS menerbitkan dokumen Negara Islam tempoh lalu, maka ia
seperti plan induk bagi PAS menjayakan hasrat mendaulatkan Syariat Allah
swt. Itulah Fasa 1 projek PAS.
7. Fasa ke 2, PAS bergerak dengan lebih praktikal. Bukan sahaja
membentang plan induk (Fasa 1) yang lengkap dengan teorinya, kini PAS
tampil dengan Negara Berkebajikan sebagai subtance kepada Negara Islam.
Ia adalah pengisian dan perlaksanaan. Sekaligus menjawab pelbagai
tohmahan kononnya Negara Islam adalah negara hukum semata-mata atau juga
di tohmah sebagai negara mullah.
8. Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat
Islam. Sementara elemen utama dalam Syariat Islam ialah adil, telus,
integriti dan amanah selain ubudiyyah (pengabdian diri kepada Allah). Ia
menepati pembentukan Good Governence yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh PAS.
9. Menganggap PAS telah tersasar dari landasan asal perjuangannya
adalah berpunca dari salah faham atau buat-buat tidak faham terhadap
matlamat dan objektif perjuangan PAS. Selayaknya mereka terlebih dahulu
membuka dan melihat Plan Lengkap Projek PAS bagi memahami keseluruhan
Fasa yang akan dibina oleh arkitek PAS.
10. Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi ia adalah
Pengukuhan Identiti. Justeru ia memantapkan lagi pengenalan dan jati
diri PAS dengan usaha bina dan tawaran yang lebih praktikal, mudah dan
boleh laksana. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.