1. Saya amat berterimakasih kepada semua pihak terutama media yang
mengutip dan melaporkan status berita pada dinding laman Facebook
peribadi saya Jumaat 23 Disember 2011 berkaitan isu permohonan Mykad
anak gadis saya. Saya terpaksa beralih kepada Facebook setelah saluran
rasmi lain yang saya gunakan gagal membantu saya pada masa itu. Zaman
informasi terkini menjanjikan tiada masalah boleh disimpan di bawah
karpet lagi dan manusia boleh saling berkongsi masalah dan membantu
memberikan jalan penyelesaian sesama mereka.
2. Isu utama sebenar
yang belum terjawab hingga hari ini ialah; Kenapa pihak JPN perlukan
salinan (salinan??? bukan original) surat nikah bagi mengesahkan
kewarganegaraan seseorang individu rakyat Malaysia sewaktu memohon Mykad
anaknya? Begitu juga dipinta lagi sewaktu memohon untuk membuat
Passport Antarabangsa? Apakah tidak cukup dengan Surat Beranak asal
pemohon dan MyKad asal Bapa pemohon bagi mengesahkan KEASLIAN
KEWARGANEGARAAN pemohon, seperti yang dinyatakan di papan kenyataan JPN
sendiri. Bukankah kalaulah pasangan itu telah bercerai, status anak itu
dalam Surat Beranak tetap kekal seperti adanya, kecuali dia memohon
sebaliknya? Atau rakyat Malaysia tidak diberitahu bahawa kedudukan
bapa/ibu warganegara tidak menjamin mereka berhak menjadi warganegara
Malaysia sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan dan diwarwarkan oleh
pihak KDN sendiri. SOP sebeginilah yang wajar disemak semula,
sebagaimana kenyataan awal YBhg KSU KDN.
3. Padahal sewaktu
memohon mendapatkan Surat Beranak yang turut dikeluarkan oleh Jabatan
yang sama (bukan Jabatan dan Kementerian lain) salinan dan original
surat nikah turut dikemukakan. JPN turut menuntut salinan berkenaan
setiap kali pendaftaran anak yang baru, sesuatu yang pada saya wajar
dilakukan bagi tujuan pengesahan status anak yang lain, walaupun ia
tiada beza dengan sistem Mubarak di Mesir sewaktu saya di sana lebih 20
tahun lampau.
4. Isu lain yang tidak dijelaskan dengan teliti
ialah; Kenapa status anak gadis saya selama 12 tahun ini dalam sistem
JPN adalah X Warganegara? Bukankah Surat Beranak dia sudah menyatakan
status dia adalah warganegara Malaysia? Bukankah Passport Antarabangsa
dia juga berwarganegara Malaysia? Juga setiap kali passport dia dibuat,
pihak Imigresen (dalam satu Kementerian KDN) akan merujuk kepada pihak
JPN status kewarganegaraan dia sebelum passport dikeluarkan. Kalaulah
benar status dia sudah dikemaskini pada 12 Jun 2009 (seperti kenyataan
rasmi KDN semalam) maka mengapa pada 23 Disember 2011, status itu masih
menunjukkan dia bukan warganegara. Saya sendiri melihat data status itu
pada skrin komputer JPN seperti yang ditunjukkan kepada saya oleh staf
JPN dan didengar sendiri oleh anak gadis saya yang turut bersedih di
meja pegawai berkenaan. Staf perhubungan pelanggan, staf di kaunter dan
pegawai JPN ini amat membantu saya dan komunikasi mereka amat baik
sehingga saya mendapat sedikit maklumat yang saya kemukakan ini, bukan
seperti 'fitnah' sesetengah pihak yang menyatakan bahawa mereka tidak
terlatih dan tidak cekap.
5. Dua isu sebenar yang saya kemukakan
ini belum terjawab walaupun pihak KDN menyatakan bahawa MyKad itu sudah
siap dan boleh diambil. Saya ke JPN semalam yang dikatakan tetap
beroperasi pada hari Sabtu, namun pihak Rela yang mengawal Bangunan
menyatakan Federal Ofis tidak beroperasi pada Sabtu ini. Notis di pintu
masuk juga menjelaskan hal demikian.
6. Saya bukan bertujuan
untuk mensensasikan isu peribadi sebegini, walaupun saya turut diberi
'ingatan' oleh pihak JPN agar tidak mensensasikan isu sebegini. Ini
urusan peribadi saya sebagai rakyat, bukan atas kapasiti lain. Saya amat
terluka apabila dinyatakan oleh sistem data komputer JPN yang saya
percayai dan yakini menyimpan data keselamatan negara yang sudah pasti
akurat, tepat dan amat dipercayai, menyatakan dengan jelas anak saya
selama 12 tahun ini, dalam rekod JPN Malaysia adalah bukan warganegara
Malaysia, negara yang amat saya cintai!
7. Saya sudah lalui semua
kepahitan dan kesulitan birokrasi dan redtapes sebegini dengan pihak
Agensi Persekutuan di Sarawak. Saya yakin semua rakyat marhaen di
Sarawak turut merasai 'denyut nadi kesulitan' yang sama. Tanyalah kepada
mereka yang ikut BARISAN di kaunter-kaunter berkenaan. Apakah mereka
bergembira?
8. Kita berada pada zaman online, bukan zaman manual.
Zaman paperless, bukan zaman suka suruh rakyat buat salinan fotostat.
Zaman data setempat, bukannya zaman 'menitahkan' rakyat 'menghadap'
pelbagai agensi untuk mengesahkan status mereka dan memaksa rakyat
mengisi pelbagai 'songeh borang' yang perlu diupah pelbagai khidmat di
keliling Bangunan Persekutuan Sarawak yang akan meningkatkan kos rakyat
marhaen (terutama yang buta huruf) di Sarawak bila berurusan dengan
Agensi Kerajaan Persekutuan.
9. Isu ini saya ketengahkan sebagai
rakyat marhaen di Sarawak adalah dalam rangka membantu memperkukuhkan
slogan YAB Perdana Menteri "RAKYAT DIDAHULUKAN" demi Malaysia yang akan
terus makmur dan Sarawak Maju Dalam Malaysia.
10. Akhirnya saya
ingin berterimakasih kepada YB Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein yang dikhabarkan segera turun tangan membantu
saya, begitu juga respons serta merta beberapa rakan media, politikus,
birokrat dan teknokrat yang lain. Terimakasih juga kepada YBhg KSU KDN
yang turut segera memberikan respons positif dan jaminan isu ini
diselesaikan serta merta -menurut kenyataan beliau melalui media-. Namun
agak malang, beliau turut mendedahkan beberapa fakta privasi diri dan
keluarga saya kepada media. Saya tidak pasti apakah beberapa bahagian
privasi hidup seseorang individu yang berada dalam simpanan KDN boleh
didedahkan kepada media dalam menangani isu sebegini. Sekian. Kuching,
25 Disember 2011.
Dr Juanda bin Jaya
Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Malaysia
Adjunct Professor at University Malaysia Perlis (UNIMAP)
Visiting Professor at Management and Science University, Malaysia (MSU)
ex-Visiting Fellow at
Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS)
University of Oxford
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.