Negara gempar dengan insiden 17 Disember, di mana seorang aktivis
telah menurunkan bendera Perdana Menteri tatkala ratusan mahasiswa turun
ke jalan raya bagi menjunjung prinsip kebebasan akademik.
Berkali-kali sahabat saya yang lain bertanya tentang isu ini, dan ini pendapat saya:
Pertama sekali saya ingin merakam tahniah di atas kejayaan mahasiswa
yang berjaya membawa tuntutan mereka ke tengah untuk diberi perhatian
yang lebih apabila berjaya menyerahkan dua memorandum – kepada SUHAKAM
dan satu lagi kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sendiri. Kesudian
Timbalan Menteri untuk turun dan bertemu mahasiswa juga harus dipuji
dan dihargai. Saya secara peribadi mengagumi cara dan toleransi yang
ditunjukkan beliau, selain peribadi beliau yang berakhlak, beretika dan
sifar skandal.
Namun isu yang lebih penting di sini ialah tindakan Adam Adli yang
menurunkan bendera Perdana Menteri sewaktu acara klimaks kepada
program itu. Solidariti Mahasiswa Malaysia seperti yang dijangka telah
menyokong sepenuhnya tindakan Adam dalam hal ini berdasarkan beberapa
hujah.
Saya juga merasakan tidak ada masalah dengan tindakan itu. Hal ini
kerana, bendera yang diturunkan langsung tidak dipijak,dikoyak atau
diconteng. Bendera yang hanya diturunkan selama beberapa minit itu juga
akhirnya dinaikkan semula ke tempat asalnya. Kita boleh katakan
tindakan Adam sebagai kurang ajar jika dia menurunkan bendera Malaysia
yang menjadi lambang kebanggaan dan imej negara kita. Dalam hal ini,
Adam tidak berbuat demikian. Sebaliknya, Adam telah menurunkan bendera
yang memaparkan wajah Perdana Menteri dan bendera tersebut langsung
tidak melambangkan imej negara kita. Maka, soal biadab atau kurang ajar
langsung tidak wujud dalam polemik ini.
Teguran buat Adam
Sebagai teman mahasiswa, ingin saya ambil kesempatan ini untuk
menegur Adam Adli dalam beberapa perkara. Pertama, jika ingin melakukan
acara simbolik seperti menurunkan bendera, pastikan beliau membawa
sendiri bendera yang ingin digunakan dalam acara simbolik tersebut.
Adalah kurang manis sebagai orang luar yang datang ke PWTC untuk
menceroboh bendera kepunyaan mereka.
Saya sertakan di sini satu analogi. Sewaktu kita berdemo menentang
keganasan zionis dalam beberapa episod demonstrasi sebelum ini, kita
telah mengekspreskan kemarahan kita dengan membakar bendera negara
Israel dan sekutu mereka, Amerika Syarikat. Adakah para demonstran telah
menurunkan bendera Amerika Syarikat yang terdapat di kedutaan mereka?
Jawapannya tidak. Kita tidak menurunkan bendera yang ada di kedutaan
Amerika Syarikat untuk acara simbolik membakar bendera sebaliknya
membawa bendera Amerika Syarikat kepunyaan kita sendiri.
Itulah yang harus dilakukan Adam Adli agar tidak dilihat keterlaluan.
Beliau perlu faham status PWTC yang merupakan ‘rumah’ UMNO. Apa yang
dilakukan pada 17 Disember tempoh hari telah membuatkan beliau dilihat
sebagai penceroboh dan bukannya orang yang menyatakan protes kepada
kepimpinan sedia ada.
Teguran buat penyokong kerajaan
Sejurus selepas Adam Adli menurunkan bendera itu dan menaikkan
bendera kebebasan akademik, maka ada pihak yang ingin menjuarai isu ini
dengan kononnya menyatakan kemarahan kepada mahasiswa.
Saya langsung tidak peduli jika mereka ingin berasa marah atau apa
sekali pun. Tetapi tindakan mereka yang mengugut dengan kekerasan
langsung tidak mencerminkan keperibadian Melayu yang kononnya menjadi
wadah perjuangan mereka selama berdekad-dekad. Sebaliknya, perangai
mereka berani saya sifatkan sebagai samseng murahan dan terdesak untuk
mencari perhatian!
Apakah wajar untuk seseorang yang tidak jelas jasanya kepada Melayu
mengiktiraf diri mereka sendiri sebagai ‘panglima’? Apakah wajar
individu-individu sebegini berniat untuk meludah mahasiswa? Apakah
mahasiswa ini hanya sekadar sampah-sampah picisan untuk diludah sesuka
hati?
Jika benar Adam Adli telah melakukan sesuatu yang mereka kurang
senang, tegurlah beliau dengan kaedah yang berhikmah. Hal ini tidak
perlu saya ajarkan di sini memandangkan mereka lebih senior dan
sepatutnya tahu cara untuk menegur Adam dan kami adik-adik mahasiswa
dengan pendekatan yang baik dan rasional.
Tetapi sayang, golongan ‘panglima‘ ini lebih berminat menggunakan ‘ludah’ berbanding teguran yang membina dan bermanfaat.
Ingin saya tinggalkan satu soalan kepada mereka, di mana mereka
tatkala warga luar berpesta menghina negara kita dan menbakar bendera
negara kita suatu masa dulu? Adakah sifat kejantanan dan kepahlawanan
panglima-panglima ini hanya berkesan pada mahasiswa sahaja?
Moga semua pihak beroleh pengajaran daripada peristiwa 17 Disember
2011. Moga semua berada dalam perlindungan, petunjuk dan rahmat Allah.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.