Latarbelakang:
PKNK dengan kerjasama sebuah
syarikat swasta ingin memulih dan memajukan Kompeks Tunku Yaakob yang
terbengkalai lebih 30 tahun. Projek yang dinamakan Aman Central bukan
sahaja memulihkan bangunan terbengkalai tetapi keseluruhan kawasan di
sekitar itu. Pelaburan besar itu bakal memberi peluang ekonomi serta
peluang pekerjaan kepada beribu rakyat negeri ini. Isu yang timbul ialah
dalam kawasan yang mahu dibangunkan itu terdapat tanah wakaf
berkeluasan 0.08 hektar dan di atas tanah itu ada bangunan yang
dinamakan Madrasah Salihiah. Pemegang amanah harta wakaf itu adalah
Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). Kerana harta wakaf itu terbabit
dalam pelan pembangunan maka ia dicadang untuk dirobohkan sementara dan
dibangunkan sebuah surau baru di tempat yang sama.
Dakwaan yang timbul dan penjelasannya:
1. Perobohan surau adalah tindakan zalim
Kerajaan negeri tidak lakukan dengan sewenang-wenangnya terhadap
tanah wakaf yang libatkan kepentingan Islam. Ia dirujuk kepada Majlis
Fatwa Negeri Kedah yang diketuai oleh Dato' Sheikh Badaruddin Hj Ahmad.
Majlis Fatwa bermuzakarah dan memutuskan bahawa surau tersebut boleh
diroboh berdasarkan kaedah Istibdal iaitu berlaku pindah wakaf kepada
manfaat yang lebih besar. Pampasan RM1.48 juta diberi kepada MAIK selaku
pemegang amanah surau untuk mendapatkan wakaf yang baharu. Di lokasi
yang dirobohkan akan dibina surau baru yang lebih luas boleh mengisi 400
jemaah dalam satu masa berbanding 200 jemaah dalam surau lama. Surau
baru dibina dan pampasan untuk adakan wakaf yang baharu diberi lagi.
Roboh satu dapat dua dan lebih manfaat!
2. Mufti Kedah dipaksa turut kehendak kerajaan negeri
Yang Berbahagia Dato' Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Kedah berada di
bawah KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang kini adalah Yang DiPertuan Agong,
bukannya lantikan oleh Menteri Besar. Justeru tuduhan tersebut adalah
fitnah dan tidak berasas. Mufti juga tidak membuat keputusan
berseorangan, mereka bermuzakarah secara mendalam dalam Majlis Fatwa
Negeri Kedah yang terdiri dari Dato' Mursyid Diraja Dato' Paduka (Dr) Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Ain As-Syam, Mesir), Dato' Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh
(Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah Sarjana Muda (BA) Syariah),
Universiti Islam Antarabangsa (Diploma Undang-undang Pentadbiran dan
Kehakiman), Dato' Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof (Universiti Ain Syam, Kaherah, Mesir (Diploma Pendidikan), Dato' Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah BA Syariah Dan Undang-undang) Jayyid (Diploma Pendidikan), Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar
(Universiti Ein Syams, Mesir (Diploma Pendidikan) Universiti Al-Malik
Saud, Riyadh, Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pendidikan
(M.Ed)), Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi
(Universiti Al-Azhar Mesir, Ijazah sarjana (MA) Syariah, Doktor Falsafah
(Ph.D) dalam Jurusan Syariah Politik Islam/Ekonomi Islam, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin, Universiti Al-Azhar Mesir - Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Malaya - Ijazah Sarjana (Syariah) Fiqh dan Usul Fiqh dan Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim
(Universiti Al-Azhar Mesir - Sarjana Muda (BA) Syariah). Kehebatan ilmu
mereka dalam membuat keputusan berkaitan kepentingan Islam tidak boleh
dipertikaikan.
3. Surau baru berada dalam kompleks membeli belah, sukar dimasuki
Surau baru yang akan dibina berada di aras bawah kompleks dan boleh
dimasuki dari luar pada bila-bila masa walaupun kompleks beli belah
ditutup. Ia menampakkan syiar sebuah surau dari luar, ada kubah dan
boleh melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Sedangkan Madrasah
Salihiah yang ada sekarang hanya di buka waktu Zohor dan Asar. Pada
waktu lain surau dikunci dari luar dan tidak dimakmurkan sepanjang lima
waktu.
4. Surau bernilai 100 tahun, ada nilai sejarah mesti dipertahankan
Sebenarnya bangunan surau yang kononnya bernilai 100 tahun di atas
tapak itu sudah diroboh tahun 2007 dan dibina sebuah bangunan yang
baharu (yang ada kini). Sebahagian besar bangunan itu adalah ruang
pejabat yang disewakan kepada sebuah syarikat insuran, hanya satu ruang
digunakan untuk bersolat. Bangunan itu baru berusia 4 tahun dan pampasan
yang diberikan dengan menilai keseluruhan tanah dan bangunan tersebut.
5. Seluruh bangunan Madrasah Salihiah yang berusia 4 tahun itu adalah surau atau Rumah Allah
Rumah Allah adalah gelaran untuk bangunan surau atau masjid yang
menepati syarat. Antara syaratnya ialah tandas mesti terpisah dari
bangunan utama musolla seperti mana hampir kesemua masjid yang terdapat
di dunia ini. Madrasah Salihiah tidak boleh dipanggil Rumah Allah kerana
tandas, pejabat perniagaan dan surau berada dalam satu bangunan. Hanya
satu ruang diguna untuk surau macam surau yang terdapat di mana-mana
bangunan lain juga.
6. Surau itu dimakmurkan oleh kira-kira 200 jamaah pada setiap waktu solat
Tidak benar. Hanya ada beberapa buah rumah orang Islam berhampiran
surau itu kerana ramai yang sudah berpindah. Orang Islam yang masih
tinggal, lebih selesa berjemaah di Masjid Zahir. Solat berjemaah di
surau itu biasanya hanya waktu Zohor dan Asar, dihadiri beberapa orang
yang bekerja di situ. Waktu Maghrib, Isya dan Subuh, pagar pun berkunci.
Jika benar surau itu mempunyai 200 anak khariah, mengapa tiada seorang
pun yang datang bersolat Subuh? Ramai yang berdemonstrasi
membantah bangunan itu dirobohkan tempohari mengaku ahli khariah tetapi
sebenarnya mereka adalah penduduk Taman Wira Mergong, bukannya ahli
khariah di situ. Bangunan itu lebih berfungsi sebagai pejabat syarikat
insuran dari sebuah madrasah atau surau.
7. Sepatutnya ganti wakaf (RM1.48 juta) dibuat di sekitar lokasi tersebut juga
Cadangan itu mungkin baik tetapi persoalannya bagaimana hendak
memenuhkan surau ganti wakaf yang dicadangkan itu sedangkan kawasan
tersebut bukan perkampungan yang ramai orang Islam. Bukankah lebih baik
memikirkan untuk memenuhkan surau baru di kompleks perniagaan yang
dibina itu. Dan lebih baik juga RM1.48 juga diguna untuk membina surau
di mana-mana kawasan ramai penduduk. Bukan setakat untuk solat tetapi
juga untuk pelbagai kegiatan umat Islam yang lain. Pahala yang mengalir
kepada pihak yang mewakaf tentulah lebih besar.
8. Di sekitar itu juga terdapat gereja, mengapa gereja tidak dirobohkan sekali
Gereja tidak termasuk dalam lokasi strategik yang mahu dimajukan.
Andainya gereja sengaja mahu dimasukkan, maka ganti gereja juga terpaksa
dibuat di kompleks membeli belah itu. Adakah umat Islam negeri ini
bersedia melihat sebuah gereja di kompleks membeli belah?
9. Pemaju Aman Central adalah orang kafir, mengapa beri peluang orang kafir majukan ekonomi mereka?
Aman Central adalah usahasama antara PKNK dan pemaju tersebut. PKNK
adalah milik kerajaan negeri justeru tidak semuanya kafir. Ia akan
memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat Kedah (peluang
pekerjaan) yang majoritinya terdiri dari orang Islam. Realiti dunia hari
ini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek yang umat Islam
dapat membangunkan iktisad sendiri tanpa orang bukan Islam. Kita tidak
boleh bersikap ‘biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya.’
Jika begitu, orang Islam tidak boleh pergi menunaikan haji untuk elak
orang kafir yang buat kapal terbang dapat untung.
10. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, Rumah Allah (masjid atau surau) diroboh untuk sebuah shopping complex
Tidak benar. Masjid Alor Malai pernah diroboh untuk pembangunan
menyeluruh Kompleks Al-Bukhari yang juga dibangunkan kompleks perniagaan
di situ (antaranya Pasaraya Giant). Sebuah masjid baru dibina, bukan di
atas tapak masjid lama tetapi dilokasi lain menggunakan kaedah
Istibdal, sama seperti kaedah yang digunakan terhadap tanah wakaf
Madrasah Salihiah. Ia tidak menjadi isu kerana pihak pembangkang pada
masa itu (PAS) tahu hukum hakam, menghormati institusi ulamak dan tidak
membantah membuta tuli. Sekarang isu Salihiah menjadi ‘panas’ kerana
pihak pembangkang kini merasa ‘terlebih pandai’ dari para ulamak yang
ada dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.