TEMERLOH, 29 Dis: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz
Idris Ahmad, meminta pengundi-pengundi di Pahang tidak terpengaruh
dengan dakyah kononnya hanya BN yang pandai memerintah sebaliknya
membuka mata melihat kejayaan ditunjukkan kerajaan-kerajaan negeri yang
dipimpin oleh Pakatan Rakyat.
Katanya, sebagai bukti boleh dilihat negeri Kelantan pimpinan PAS
yang seolah-olah dianaktirikan, tetapi berjaya membangun setanding
dengan negeri-negeri lain.
“Jika di bawah pentadbiran kerajaan Umno BN dulu Kelantan duduk di
ranking nombor dua paling miskin, di bawah PAS kini telah naik ke tangga
ke enam dan kadar kemiskinan hanya 4.1%.
“Bukan setakat itu, negeri pimpinan Tok Guru berjaya melunaskan
hutang kerajaan Pusat setakat 2010 saja RM220 juta sedangkan hutang yang
ditinggalkan Umno dulu ialah RM718 juta.
“Ini boleh dibandingkan dengan hutang kerajaan BN Pahang yang sudah
menjangkau RM2.3 bilion, dan kita yakin akan terus bertambah,” ujarnya.
Beliau berucap demikian ketika membentangkan kertas kerja kepada
jentera penerangan parti segenap peringkat di Darul Amin Sungai Gau di
sini, kelmarin.
Idris berkata, Kelantan yang ditohmahkan sebagai mundur oleh Umno, mampu memberi pinjaman kepada kakitangan kerajaan tanpa riba.
“Di Kelantan ada projek ladang rakyat dengan sahamnya diagihkan
kepada penduduk miskin yang mendapat dividen bulanan tanpa mengira kaum,
agama dan parti . Warga emas pula diberikan Takaful Kifalah yang
apabila meninggal waris dapat wang RM2,500.
“Di Kedah, tengok hasil balaknya meningkat sehingga 205% seperti
diakui Ketua Audit Negara. Kedah juga mencipta sejarah melepasi defisit
RM19 juta dan cukai tanah diturunkan demi untuk rakyat.
“Cuba bandingkan dengan Pahang yang mewah dengan balak tetapi
pendapatan untuk negeri begitu kecil sehingga kerajaan negeri terpaksa
meminjam daripada Pusat untuk menampung perbelanjaan dan pembangunan,”
katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Idris membanding dengan Selangor yang mampu
memberikan bekalan air paip percuma kepada rakyatnya sedangkan Pahang
yang kaya dengan sumber rair sungai ini tidak beri percuma.
Tambahnya, beliau diberitahu, di Pahang bukan saja bil air mahal malah bekalan pula kerap terganggu.
“Di bawah kerajaan Pakatan di Selangor sekarang gaji guru Kafa
dinaikkan kepada RM1,300 hingga RM1,500. Di Pahang berapa? Ditubuhkan
pula Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang menyediakan tabung
permulaan RM100 bagi setiap bayi kelahiran Selangor. Sebanyak RM1,500
boleh dikeluarkan selepas umur 18 tahun.
“Tengok Pulau Pinang pula walaupun diterajui Ketua Menteri dari DAP
tetapi Sekolah agama Rakyat dibantu dan peruntukan kepada Jabatan Agama
Islam ditambah sehingga RM25 juta setahun.
“Wakil rakyatnya tidak dibenarkan memohon tanah. Setiap bayi lahir
diberikan wang antara RM100 ke RM200 manakala warga emas yang berumur 60
tahun ke atas mendapat RM1 ribu,” tambahnya.
Ustaz Idris menjelaskan, rakyat sepatutnya bijak menilai sesebuah
kerajaan yang baik dan tidak seharusnya terpedaya dengan propaganda
media Umno sahaja.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.