PETALING JAYA 29 Dis: Ekoran laporan KEADILAN terhadap Suruhanjaya
Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembelian kondominium mewah
berjumlah RM9.9 juta, badan bebas Jingga 13, mengadakan misi
lawatan ke Singapura bagi melakukan siasatan.
Sebelum ini, KEADILAN mendakwa keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil
yang dianugerahi projek lembu telah menyeleweng dana duit rakyat
sebanyak RM250 juta yang dimiliki syarikat National Feedlot Corporation
(NFC).
“Kami (Jingga 13) telah ambil keputusan turun ke Singapura pada 23
Disember lalu untuk mengenal pasti aset, benar ataupun tidak. Akhirnya
kami bertemu dengan kondo yang tersergam indah,” kata Pengerusinya,
Fariz Musa pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun mengalami kesukaran kerana berulang kali
dihalau oleh pegawai keselamatan, namun akhirnya berjaya menyelinap
masuk ke dalam kondo tersebut.
“Kondo Orchard Scotts – kondominium mewah yang sangat selesa serta
dikawal rapi. Nak ambil gambar pun kena ada kebenaran. Jingga 13 berjaya
membuat rakaman video untuk menunjukkan kondo mewah keluarga
Shahrizat tersebut,” katanya.
Jingga 13 turut menjumpai restoran mewah Meatwoks di ION Orchard Mall
iaitu sebuah gedung terbuka yang merupakan perniagaan peribadi keluarga
Shahrizat.
Bagaimanapun restoran tersebut lengang malah tidak ramai pelanggan.
“Restoran lengang tiada orang, kedai di kiri kanan ramai orang,
Meatworks kami tunggu sampai tengahari tidak ada orang lain yang masuk.
Syarikat ini bukan saja mampu menyewa satu shop lot tapi dalam masa sama
disewa ruang legar. Sudah pasti kos adalah lebih tinggi,” katanya.
SPRM bercakap dengan ‘lembu’?
Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin pada sidang
media yang sama turut mengecam tindakan kerajaan yang masih lagi tidak
menyoal siasat suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail.
“Setakat ini laporan polis telah dibuat di seluruh negara.
Sekurang-kurangnya Datuk Salleh sudah dipanggil untuk disoal siasat.
SPRM kata dah 75 orang telah ditemubual tapi takkan tiada apa yang dapat
dikesan? Melainkan kalau dia bercakap dengan lembu.
“Malah satu jawatankuasa ditubuhkan oleh SPRM dan penyiasatan akan
merangkumi semua aspek, tapi sekiranya tidak ada apa-apa yang berlaku
lepas ini mengenai skandal ini, kita akan desak Shahrizat dedahkan aset
mereka dalam tempoh lima tahun ke belakang,” cabar Zuraida.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.