DAP mencadangkan sokongan dwipartisan untuk lanjutan umur persaraan
pekerja sektor swasta selaras dengan sektor awam, iaitu kepada 58 tahun
ataupun 60 tahun seperti yang dicadangkan. Masa sudah tiba bagi
Kerajaan BN untuk melaksanakan lanjutan umur persaraan untuk sektor
swasta sebelum pilihan raya umum yang akan datang.
Di seluruh
dunia, makin sukar untuk menemui negara yang menetapkan umur persaraan
di bawah 60 tahun. Kebanyakan negara Europah menetapkan 65 sebagai umur
persaraan, manakala negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman
menetapkannya sebagai 67 tahun. Negara jiran kita seperti Thailand pun
sudah menetapkan 60 sebagai umur persaraan.
Dunia sejagat sedang
melihat lanjutan umur persaraan disebabkan jangka hayat yang kian
meningkat ekoran daripada kemajuan dalam sains kesihatan, ketersediaan
perubatan, pemakanan yang lebih berkhasiat dan gaya hidup yang lebih
sihat secara am. Ini juga jelas dilihat di Malaysia di mana jangka
hayat secara purata telah meningkat kepada 75, berbanding dengan 61 pada
tahun 1970.
Disebabkan peningkatan jangka hayat ini, orang yang
berumur sekitar 55 hingga 60 tahun sebenarnya berada dalam zaman paling
produktif, dan pengalaman mereka haruslah digunakan secara optimum dan
tidak dibazir. Mereka harus diberi peluang untuk menyumbang dan bukan
dibiar begitu sahaja.
Umur persaraan yang lebih tinggi juga akan
membenarkan rakyat Malaysia mengumpul lebih pendapatan, terutama sekali
dalam iklim ekonomi yang tidak menentu ini. Mengikut KWSP, 73%
daripada pencarumnya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 sewaktu
bersara manakala hanya 17% mempunyai simpanan melebihi RM100,000.
Bagaimanakah
seseorang itu diharapkan untuk menyara kehidupan selama 20 tahun dengan
simpanan sebanyak RM50,000? Dengan lanjutan umur persaraan, orang akan
diberi peluang untuk mengumpul lebih banyak kerana dapat bekerja lebih
lama dalam lingkungan gaji yang lebih tinggi.
Yang lebih
membimbangkan, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa
jumlah hutang isi rumah setakat akhir tahun 2010 berada di tahap RM581
bilion ataupun 76% daripada KDNK. Ini bermakna Malaysia mempunyai tahap
hutang isi rumah yang kedua paling tinggi di Asia selepas Korea
Selatan.
Nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di
tahap 47.8% pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah
daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang.
Nisbah bayaran hutang lebih daripada 33% dianggap kurang baik.
Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah
bayaran faedah melebihi satu pertiga pendapatan. Amat jelas bahawa
negara Malaysia sedang menjadi negara yang berhutang, apatah lagi
dengan Kerajaan Persekutuan yang memimpin dengan pemberian wang pinjaman
kepada rakyat.
Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK
kian meningkat dari tahun ke tahun, dari 53.1% pada 2010, 53.8% pada
2011 kepada 54.8% pada 2012. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pula
telah melonjak 71% dalam empat tahun kepada RM456 bilion pada akhir 2011
daripada RM266 bilion pada akhir 2007.
Inilah satu perbezaan
yang ketara di antara kerajaan-kerajaan BN dan PR. PR tidak memberi
wang pinjaman kepada rakyat kerana hutang piutang itu kelak akan dibayar
oleh rakyat juga. Kerajaan Negeri PR memberi wang yang diperolehi
daripada belanjawan lebihan, di mana rakyat atau anak-anak mereka tidak
akan dibebani hutang.
Dengan
hutang isi rumah yang sangat tinggi di Malaysia, dan tanpa apa-apa
pertolongan daripada Kerajaan Persekutuan BN yang sendiri berhutang
piutang, rakyat terpaksa bekerja lebih lama untuk menampung diri dan
keluarga mereka. Siapa yang mahu bekerja jika boleh bersara?
Untuk
sebab ini, DAP menggesa supaya umur persaraan dalam sektor swasta
dilanjutkan selaras dengan lanjutan yang dibuat untuk sektor awam.
*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.