KUALA LUMPUR, 23 DIS – Hutang kerajaan Barisan Nasional yang semakin
dan membebankan rakyat telah memaksa golongan pekerja untuk terus
bekerja dalam tempih yang lebih lama.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mencadangkan lanjutan umur
persaraan pekerja sektor swasta diselaraskan dengan sektor awam, iaitu
kepada 58 tahun atau pun 60 tahun seperti yang dicadangkan.
“Masa sudah tiba bagi kerajaan BN untuk melaksanakan lanjutan umur
persaraan untuk sektor swasta sebelum pilihan raya umum yang akan
datang,” katanya.
Menurutnya, umur persaraan yang lebih tinggi juga akan membolehkan
rakyat Malaysia mengumpul lebih pendapatan, terutama sekali dalam iklim
ekonomi yang tidak menentu ini.
Mengikut KWSP, 73 peratus daripada pencarumnya mempunyai simpanan
kurang daripada RM50,000 sewaktu bersara manakala hanya 17 peratus
mempunyai simpanan melebihi RM100,000.
“Bagaimanakah seseorang itu diharapkan untuk menyara kehidupan selama
20 tahun dengan simpanan sebanyak RM50,000? Dengan lanjutan umur
persaraan, orang akan diberi peluang untuk mengumpul lebih banyak kerana
dapat bekerja lebih lama dalam lingkungan gaji yang lebih tinggi.
“Yang lebih membimbangkan, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah
mendedahkan bahawa jumlah hutang isi rumah setakat akhir tahun 2010
berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada KDNK.
“Ini bermakna Malaysia mempunyai tahap hutang isi rumah yang kedua
paling tinggi di Asia selepas Korea Selatan,” kata Guan Eng yang juga
Ahli Parlimen Bagan.
Dalam kenyataannya hari ini beliau berkata, nisbah bayaran hutang isi
rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau
setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran
hutang.
Katanya, nisbah bayaran hutang lebih daripada 33 peratus dianggap
kurang baik kerana biasanya institusi kewangan tidak akan memberi
pinjaman jika jumlah bayaran faedah melebihi satu pertiga pendapatan.
Menurutnya, sisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK kian
meningkat dari tahun ke tahun, dari 53.1 peratus pada 2010, 53.8 peratus
pada 2011 kepada 54.8 peratus pada 2012.
Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pula telah melonjak 71 peratus
dalam 4 tahun kepada RM456 bilion pada akhir 2011 daripada RM266 bilion
pada akhir 2007.
“Inilah satu perbezaan yang ketara di antara kerajaan-kerajaan BN dan
Pakatan Rakyat. PR tidak memberi wang pinjaman kepada rakyat kerana
hutang piutang itu kelak akan dibayar oleh rakyat juga.
“Kerajaan Negeri PR memberi wang yang diperolehi daripada belanjawan
lebihan, di mana rakyat atau anak-anak mereka tidak akan dibebani
hutang.
“Dengan hutang isi rumah yang sangat tinggi di Malaysia, dan tanpa
apa-apa pertolongan daripada Kerajaan Persekutuan BN yang sendiri
berhutang piutang, rakyat terpaksa bekerja lebih lama untuk menampung
diri dan keluarga mereka. Siapa yang mahu bekerja jika boleh bersara?”
Justeru, Guan Eng berkata, DAP mahu umur persaraan dalam sektor
swasta dilanjutkan selaras dengan lanjutan yang dibuat untuk sektor
awam.
“Di seluruh dunia, makin sukar untuk menemui negara yang menetapkan
umur persaraan di bawah 60 tahun. Kebanyakan negara Europah menetapkan
65 sebagai umur persaraan, manakala negara-negara seperti Amerika
Syarikat dan Jerman menetapkannya sebagai 67 tahun. Negara jiran kita
seperti Thailand pun sudah menetapkan 60 sebagai umur persaraan,”
ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, dunia sejagat
sedang melihat lanjutan umur persaraan disebabkan jangka hayat yang kian
meningkat ekoran daripada kemajuan dalam sains kesihatan, ketersediaan
perubatan, pemakanan yang lebih berkhasiat dan gaya hidup yang lebih
sihat secara am.
“Ini juga jelas dilihat di Malaysia di mana jangka hayat secara
purata telah meningkat kepada 75, berbanding dengan 61 pada tahun 1970.
“Disebabkan peningkatan jangka hayat ini, orang yang berumur sekitar
55 hingga 60 tahun sebenarnya berada dalam zaman paling produktif, dan
pengalaman mereka haruslah digunakan secara optimum dan tidak dibazir.
“Mereka harus diberi peluang untuk menyumbang dan bukan dibiar begitu sahaja,” tambah beliau. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.