KUALA LUMPUR, 24 Dis: Walaupun ditekan hebat termasuk
menerima ancaman ugutan bunuh, pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris
(UPSI), Adam Adli Abdul Halim, tetap bertekad untuk meneruskan
perjuangannya menuntut kebebasan mahasiswa di negara ini.
Walaupun
sedar jalan yang ditempuhinya itu amat rumit, tetapi beliau dan
rakan-rakannya dari kalangan mahasiswa tetap akan meneruskan perjuangan
mereka sehingga pihak Kerajaan BN sendiri sedar dengan kesilapannya
selama ini.
Menurut Adam, Kerajaan BN perlu sedar para mahasiswa
juga mempunyai hak untuk bersuara dan tidak selamanya boleh dikongkong
dengan pelbagai sekatan termasuk menerusi Akta Universiti dan Kolej
Universiti (Auku) yang telah dilaksanakan sejak sekian lama di negara
ini.
"Kini
para mahasiswa sudah tidak lagi boleh bersabar dengan kongkongan
kerajaan terhadap kami. Kerajaan yang memerintah tidak selamanya boleh
bertindak sesuka hati terhadap mahasiswa dan menzalimi rakyatnya,"
katanya.
Bercakap kepada Harakahdaily pada satu pertemuan
eksklusif sekitar 10 minit selepas memberikan keterangan kepada pihak
polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, semalam, (gambar)
beliau mengakui tindakannya menurunkan bendera Perdana Menteri pada 17
Disember lalu dilakukan dengan penuh kesedaran dan mempunyai mesej jelas
mengenai perkara itu.
"Saya tidak bermaksud untuk menghina.
Tetapi itulah mesej kami. Sebab itulah bendera itu pun hanya saya
turunkan sekejap sahaja, tak sampai pun lima minit dan kemudian saya
naikkan kembali dengan baik," jelasnya.
Semua pihak, tegas
beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sewajarnya memutarbelitkan
kenyataan serta membuat fitnah kepada beliau dan rakan-rakannya yang
lain.
"Kalau saya dan rakan-rakan saya tak naikkan kembali
bendera Perdana Menteri yang kami turunkan itu, lainlah pula ceritanya,"
ujarnya.
Namun, dengan hanya menurunkan bendera tersebut dalam
tempoh kurang lima minit, beliau berharap agar mesej protes mahasiswa
berhubung perkara itu dapat dibaca dengan baik oleh pihak kerajaan.
Beliau
bagaimanapun amat kesal kerana tindakan mereka itu telah dimanipulasi
oleh pihak-pihak tertentu sehingga mengaitkannya dengan jenayah,
walaupun ia jelas bukan jenayah.
Malah tindakan tersebut selaras
dengan amalan demokrasi di negara ini yang memberikan kebebasan
berhimpun secara aman dan bersuara kepada rakyat, termasuk di kalangan
mahasiswa, seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan
Persekutuan.
Di mana-mana negara sekalipun yang mengamalkan
demokrasi di dunia ini, terutama di negara-negara maju, suara mahasiswa
tidak akan disekat.
Katanya, malah suara mahasiswa diakui
mempunyai kuasa tersendiri dan perlu didengari serta dihormati kerana
para mahasiswa juga mempunyai hak untuk menyatakan pandangannya bagi
kepentingan agama dan tanah air.
"Malaysia yang berada di bawah
pemerintahan BN dan sedang menuju ke arah negara maju, bagaimanapun
menafikan suara dan hak mahasiswa. Inilah yang amat dikesali oleh kami,"
ujarnya.
Beliau berharap agar siri-siri protes yang dilancarkan
oleh beliau dan rakan-rakannya yang bergabung dalam Solidariti
Mahasiswa Malaysia (SMM) dan lain-lain badan akan mengubah dasar
kerajaan terhadap mahasiswa.
"Pada kami, Auku bukan perlu
dipinda, tetapi dimansuhkan. Jika kerajaan tetap enggan mendengar
desakan kami, kami tidak akan berdiam diri, malah terus berjuang dan
mengadakan pelbagai kempen mengenainya, selaras dengan hak kami dan
rakyat negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan,"
katanya.
Para
mahasiswa yang berada dalam kumpulan Pro Mahasiswa, tambahnya, berbeza
dengan mereka yang berada dalam kumpulan Pro Aspirasi, malah mereka
tidak akan berganjak dari matlamat perjuangan mereka walaupun akan
digula-gulakan oleh para pemimpin Umno atau BN.
Beliau bersyukur
kepada Allah kerana tidak berkeseorangan dalam perjuangan itu, malah
disokong penuh oleh rakan-rakan pelajarnya yang lain serta lain-lain
pihak yang sedar dengan hak masing-masing di tanah air sendiri.
"Kita
rakyat Malaysia atau warganegara Malaysia mempunyai hak ke atas negara
ini dan berhak bersuara demi kepentingan agama dan negara. Janganlah
lagi hak kami itu dinafikan oleh kerajaan yang memerintah sekarang,"
tegas beliau.
Sebelum itu, beliau dengan ditemani
rakan-rakannya dalam SMM telah memberikan keterangan selama sejam
bermula jam 11.00 pagi kepada pihak polis, berhubung laporan polis yang
dibuatnya di Balai Polis Tun H.S Lee, Isnin lalu membabitkan kes ugutan
bunuh terhadapnya.
Sebaik selesai memberikan keterangan kepada
ASP Anan, beliau terus diserbu oleh pihak media termasuk dari dalam dan
luar negara, bagi mengetahui perkembangan terkini mengenainya untuk
dikongsi bersama segenap anggota masyarakat terutama di negara ini.
Walaupun
banyak syarikat penerbitan yang ingin mengadakan temubual eksklusif
dengannya terutama pada hari itu, tidak kesemuanya dapat dipenuhi kerana
kesuntukan masa, lebih-lebih lagi setelah azan dari masjid-masjid
hampir berkemundang bagi memanggil umat Islam menunaikan solat Jumaat.
"Masa
dah terlalu suntuk untuk solat Jumaat. Kalau Harakahdaily ingin
mengadakan juga temubual eksklusif hari ini, hanya sempat sekitar 10
minit sahaja," jelasnya sambil menyeka peluh yang memercik di dahi
kerana cuaca panas dan kesibukannya melayani pelbagai pertanyaan para
wartawan yang telah menunggunya hampir dua jam di IPD Polis Dang Wangi
semalam.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.