JOHOR BAHRU : KEADILAN Johor menentang cadangan kadar tol Lebuh Raya
Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL) sebanyak RM9.10 sehala oleh pemilik
konsesi, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Johor, Steven Chong berkata, ia memberi kesan kepada ekonomi Johor Bahru (JB).
“Paling terkesan ialah pendapatan pemandu teksi Johor Bahru-Singapura
yang akan merosot teruk. Begitu juga pekerja Malaysia yang menetap di
JB berulang alik setiap hari bekerja di Singapura.
“Kadar tol ini menjadi punca kerana kos minima bagi sebuah kereta
bagi perjalanan pergi balik adalah sebanyak RM18.20,” kata Steven yang
juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN kepada keadilandaily.
EDL dibina dengan kos RM977 juta sepanjang 8.1 km dari Kompleks
Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bersambung ke Lebuh Raya
Utara-Selatan (PLUS) melalui susur keluar Pandan. Pembinaannya bermula
Februari 2008 dan dijangka beroperasi pada Februari 2012.
Steven turut mempersoalkan pemegangan konsesi selama 34 tahun yang
tidak munasabah oleh MRCB. Syarikat itu bakal menerima perolehan
berjumlah RM5.647 bilion, sedangkan kos pembinaannya hanya RM1 bilion.
“Jika kita ambil RM9.10 bagi sebuah kereta dengan lebih kurang 50,000
kenderaan masuk keluar setiap hari, ini bermakna kutipan tol sehari
ialah RM455,000. Dalam sebulan, RM13.8 juta dan setahun RM166 juta.
“Jumlah
kutipan ini tidak termasuk yang dikenakan kepada motosikal, bas, lori
dan kenderaan industri lain. Apa yang membimbangkan, kadar tol ini akan
dikaji semula setiap tiga tahun untuk dinaikkan. MRCB tak cukup
untungkah?,” soal Steven.
“Setiap kali kajian semula kadar tol, dijangkakan peningkatannya
sehingga 150 peratus. Pengguna dan penduduk Malaysia yang bekerja di
Singapura tiada pilihan lain selain melalui jalan ini.
“Sedangkan belanja kos pembinaan EDL boleh diperolehi kembali hanya
selepas tahun keenam lebuh raya ini beroperasi. Justeru, rakyat Johor
membantah rancangan MRCB ini,” tegas Steven.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.