KUALA LUMPUR 23 Dis: Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan
penggunaan wang zakat oleh Datuk Jamil Khir Baharom, jelas membuktikan
beliau seorang yang tidak amanah.
“Menggunakan
wang zakat merupakan perbuatan khianat oleh menteri. Sepatutnya beliau
(Jamil Khir) bertanggungjawab dalam hal ehwal agama islam tapi sesuka
hati bayar duit zakat bayar kes guaman, walhal bukan amil (tidak layak
menerima wang zakat),” kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
Wang sebanyak RM63,650 itu dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mendahulukan bayaran khidmat
guaman untuk Jamil Khir dan dua yang lain.
Kos guaman itu bersabit kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan,
Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai
responden.
Izzah berkata, meskipun wang itu sudah dikembalikan, Jamil sebagai
Menteri Agama di dalam kerajaan sepatutnya memberi contoh baik kepada
rakyat dan bukannya mengambil kesempatan menggunakan wang tersebut.
“Ini bukan saja melibatkan persepsi masyarakat tetapi rakyat telah
hilang keyakinan kerana begitu mudah mengambil wang zakat. Jamil sudah
tidak ada kredibiliti kerana tidak amanah dalam melaksanakan
tanggungjawabnya,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Sementara itu, Izzah yang ditemui selepas lawatan kawasan penduduk di
Taman Seri Sentosa, Klang Lama menggesa Dewan Bandaraya Kuala lumpur
(DBKL) memberi perhatian terhadap rungutan penjaja di situ.
Ia berhubung aduan bahawa DBKL menindas beberapa penjaja di kawasan tersebut.
Menurutnya, DBKL tidak seharus berat sebelah untuk mengambil tindakan dan perlu mengambil kira pendapat penduduk setempat.
“Kalau betul nak ambil tindakan, jangan pilih bulu. Jangan ditindas peniaga-peniaga tertentu yang mencari rezeki,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.