KUALA LUMPUR 23 Dis: Tindakan polis menahan seorang datuk berhubung
siasatan skandal National Feedlot Corporation (NFC), hanya untuk
dijadikan kambing hitam dalam kes berkenaan.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, ini kerana
berdasarkan rekod pendedahan beliau bersama pimpinan KEADILAN mendapati
tiada individu seperti yang dimaksudkan.
“Apa yang kita dedah sebenarnya ia berkait penglibatan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
“Kita melihat kewujudan secara tiba-tiba Datuk berusia 45 tahun ini
hanyalah kambing hitam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk mengalih
isu sebenar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dihubungi
Keadilandaily.com hari ini.
Menurutnya, dua isu utama yang didedah sebelum ini sudah cukup untuk
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat skandal itu
Pertama, katanya, pemalsuan dokumen yang diguna NFC sebagai taktik untuk mengeluarkan dana sebanyak RM250 juta.
Kedua, pengeluaran sebanyak RM80,000 setiap bulan dari dana itu untuk
pakej pelancongan yang ditawarkan syarikat Impian Global Network
Services (IGNS), sejak Januari hingga Julai 2010.
“Dua pendedahan ini sudah cukup untuk SPRM siasat tetapi mereka tidak berbuat demikian,” kata Rafizi.
Beliau turut mengaitkan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman
penjara ke atas bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo atas tuduhan
rasuah, juga sebagai satu lagi usaha mengaburi mata rakyat menjelang PRU
akan datang.
“Kalau mengikut skrip biasa Umno, mereka yang disiasat ini akan
disabit bersalah namun kes akan digugur atau mereka dilepaskan selepas
PRU.
“Sebab itu, saya merayu dan mengajak rakyat, jika enggan kes seumpama
ini berulang, ayuh, bulatkan tekad dan kukuhkan sesungguhnya dalam hati
untuk mengundi setiap calon Pakatan Rakyat pada PRU kali ini,” katanya.
Hari ini, portal media melaporkan usahawan berpangkat datuk dan
dipercayai memiliki beberapa syarikat, ditahan polis kerana
pembabitannya dengan NFC. Lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan
itu pada Rabu kononnya kerana cubaan untuk menyogok pegawai polis.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut
menyerbu pejabat NFC di Shah Alam dan merampas beberapa dokumen
berkaitan.
Pada masa sama, Mahkamah Tinggi Shah Alam pula menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atas Khir Toyo atas tuduhan rasuah.
Bagaimanapun, ia bukan keputusan muktamad kerana Khir masih mampu
melepaskan dirinya daripada tuduhan itu, sekiranya beliau dibebaskan
diperingkat Mahkamah Rayuan kelak.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.