Sejak muktahir ini, Umno sudah dilihat dengan jelas sebagai parti yang tidak ada pendirian, parti yang suka buat U-Turn. Apa yang ditentangnya dahulu, kini dijilatnya semula dan cuba menuduh pihak lain tidak bersamanya pulak.
Contohnya cukup banyak. Terbaharu ialah cadangan pengubalan Akta Murtad yang disuarakan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria. Dalam isu ini, Mukhriz Tun Mahathir menggesa pemimpin PAS tidak berdiam diri berhubung cadangan mewujudkan Akta Murtad bagi membendung gerakan memurtadkan umat Islam di negara ini.
Sedangkan ketika PAS membentangkan Rang Undang-undang sebegini pada awal 1990-an dahulu di Parlimen, ahli-ahli Parlimen Umno-BN lah yang paling lantang menentang dan enggan menyokongnya.
Pendirian Umno goyah lagi dengan secara tiba-tiba memansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ketika rakyat yang prihatin bangkit mengadakan Himpunan Aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009, melalui tindakan pasukan Polis, pembantah ditangkap dan mereka dipancut dengan air asid tanpa belas.
Beriya-iya pemimpin Umno mempertahankan akta zalim dan kejam itu. Beberapa badan NGO yang pro-Umno ditatang tanpa sebarang pancutan air kimia dan gas pemedih mata, pada hari yang sama ketika rakyat berarak di Kuala Lumpur mahu memansuhkan ISA. Itulah layanan dan sikap Umno.
Apabila ISA sudah tidak popular dan rakyat tidak lagi 'kecut' dengan akta yang jadi perkakas Umno-BN itu, ianya mansuh, sedangkan ISA itulah antara senjata penting diguna Umno selama ini untuk 'membelasah' musuh-musuh politiknya .
ISA jugalah yang menjadi sebab Tragedi Berdarah Memali dan ISA juga yang mengorbankan Dr Burhanuddin al-Helmy, Pahlawan Umat yang disanjung tinggi.
Sikap U-Turn Umno juga cukup jelas dalam hubungan dengan Raja-Raja Melayu. Semua rakyat tahu apa yang Umno telah lakukan kepada Raja-Raja Melayu pada tahun 1983, 1993 dan 1994. Hari ini, pemimpin Umno cuba menggunakan istana pula untuk menyerang musuhnya dari Pakatan Rakyat. Ia bermula selepas mereka kecundang teruk dalam PRU 2008.
Dalam demonstrasi di perkarangan rasmi Menteri Besar Sri Iman, Kuala Terengganu, 23 Mac 2008, para pemimpin Umno negeri dan Pusat terang-terang menderhaka terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila secara terbuka mengadakan demonstrasi yang jelas menghina kemuliaan institusi raja dalam isu pelantikan Menteri Besar sehingga muncul kain rentang "Kami Nak Idris, Natang (binatang)?" yang begitu biadap disiarkan secara meluas oleh beberapa buah stesen tv.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Mohd Taib ketika menjadi Menteri Besar Selangor juga pernah melarikan puteri Sultan Selangor, Sultan Salahuddin, yang lebih dikenali sebagai Ku Yah dan banyak lagi angkara derhaka pemimpin Umno, jika mahu disenaraikan.
Tidak lama sebelum PRU-12, mereka juga cukup takut mahu berbincang masalah Melayu kerana bimbang dengan ancaman MCA. Sekarang apa dah jadi bila MCA menungging?
Lepas ini apa lagi yang Umno nak lakukan? Umno memang sudah kontang idea, suka meniru sehingga Bajet Tranformasi 2012 juga ditiru sebahagiannya daripada Bajet Pakatan Rakyat. Malah teks ucapan Najib yang sudah dicetak, tidak dapat diberi kepada ahli Parlimen kerana terlalu banyak pindaan dilakukan setelah munculnya Bajet Pakatan Rakyat.
Lihat sahaja 'one-off' payment mereka. Pakatan Rakyat beri bayaran tunai dengan menggunakan duit lebihan. Umno, yang ghairah kaut duit masuk poket sendiri, mahu meminjam apabila nak melakukan pembayaran kepada rakyat. Siapa yang akan tanggung hutang nanti? Tentulah rakyat.
Hari ini tanpa segan silu, Najib mendakwa Pakatan Rakyat sama seperti parti Republikan di Amerika Syarikat? Apakah ini ucapan seorang PM? Kalau PM pun sudah terhoyong-hayang, apa lagi orang bawahannya.
Tiga hari lepas, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menjangkakan bayaran tunai RM500 akan menimbulkan masalah kerana bagaimana kerajaan mahu mengenalpasti mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah? Ini akan memakan masa. Akhirnya nanti, selepas pilihan raya umum pun masih belum selesai.
Kini makin jelas, Umno akan melakukan lebih banyak U-Turn lagi bagi menempatkan semula pengaruhnya dalam kampung rakyat, termasuk mencedok apa sahaja idea dan tawaran Pakatan Rakyat, demi melangsungkan kuasa mereka yang tinggal sejengkal sahaja lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.