(Oleh: Ahmad Fadli)
KUALA LUMPUR 23 Nov: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, media arus perdana yang dikuasai Umno-Barisan Nasional cuba menutup skandal penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC).
Justeru itu katanya, laporan polis seluruh negara yang dibuat terhadap NFC adalah untuk mewujudkan kesedaran rakyat terhadap isu ini.
Serentak dengan laporan polis itu juga, katanya, Wanita KEADILAN akan mengedarkan risalah penerangan mengenai skandal berkenaan ke seluruh negara.
“Media arus perdana tidak menerangkan isu ini dengan jelas kepada rakyat.
“Jadi, hari ini kita akan turut sama mengedarkan risalah menerangkan isu ini kepada orang ramai,” kata Zuraida sewaktu ditemui di Balai Polis Dang Wangi pagi tadi.
Laporan tersebut yang dibuat Naib Ketua Wanita KEADILAN, Noorsham Abu Samah adalah sebahagian daripada 13 laporan yang dibuat serentak di seluruh negara.
Lima individu dinamakan dalam laporan itu iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar, dan Pengerusi NFC merangkap suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh.
Skandal itu mencuri tumpuan negara apabila NFC yang dikendalikan suami dan anak-anak Shahrizat menerima peruntukan RM250 juta wang rakyat untuk menternak lembu bagi bekalan pasaran lembu tempatan.
Namun demikian, NFC gagal memenuhi permintaan pasaran tempatan dan mengalami kerugian sejak beroperasi.
Pada masa sama, keluarga Shahrizat dilaporkan memberikan diskaun dalam jualan daging lembu NFC kepada rangkaian restoran mewah mereka.
KEADILAN juga mendedahkan RM116 juta dari dana NFC dilabur dalam simpanan tetap yang memberi keuntungan atas angin sebanyak RM666 ribu.
Suami serta anak-anak Shahrizat juga dilaporkan menghabiskan kira-kira RM800 ribu wang NFC melancong ke luar negara.
Selain itu, NFC juga dilaporkan membeli dua unit kondominium mewah One Menerung, Bangsar yang menelan belanja RM13.9 juta. Terkini, keluarga Shahrizat dikatakan menunaikan umrah juga menggunakan dana NFC.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.