(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 23 Nov: Pakatan Rakyat menentang keras penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) di bursa saham sebagaimana diumum Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Bahrain.Menurutnya, keputusan mencagarkan tanah Felda Plantation kepada FGVH bagi tujuan penyenaraian itu, bercanggah dengan Akta Kemajuan Tanah 1956.
“Kami dimaklumkan, Felda berhasrat memajak tanahnya seluas 350 ribu hektar kepada FGV sedangkan syarikat itu tiada hak ke atas tanah seluas 350 ribu hektar kepunyaan Felda atau 500 ribu hektar yang dimiliki peneroka.
“FGV sekadar mengurus tanah-tanah itu,” katanya dalam sidang media dilobi Parlimen hari ini.
Menurut Kamarul, berdasarkan Akta Kemajuan Tanah, mana-mana kerajaan negeri tidak sewajarnya menyediakan tanah kepada Felda untuk diniagakan apatah lagi untuk tujuan penyenaraian di bursa saham.
“Oleh itu, kami menentang keras usaha memajakkan tanah seluas 350 ribu hektar milik Felda kepada FGV untuk tujuan penyenaraian di bursa saham,” katanya lagi.
Berdasarkan rekod, FGVH hanya memiliki tanah 42 ribu hektar di Kalimantan. Tanah untuk tujuan ladang kelapa sawit itu dikatakan baru di peringkat penanaman dan semaian.
Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan 2012 pada awal Oktober lalu mengumumkan penyenaraian FGVH di bursa saham pada separuh masa pertama tahun 2012.
Tindakan itu dibimbangi merugikan peneroka secara keseluruhan dalam jangka masa panjang.
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) sebelum ini membantah keputusan itu kerana ia menjejaskan nasib dan masa depan peneroka sedangkan yang mendapatkan keuntungan adalah syarikat besar.
Penyenaraian ini dibimbangi akan menjejaskan ekuiti Bumiputera dalam Felda kerana ia membolehkan pelbagai syarikat besar melabur dalam institusi tanah yang dikuasai bumiputera.
Menurut Presiden Anak, Mazlan Aliman, cagaran tanah itu turut diragui kerana ia dilakukan tanpa kehadiran Pengurus Besar Felda, Dato’ Dzulkifli Abdul Wahab yang menunaikan umrah pada 25 Ogos lalu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.