KUALA LUMPUR 22 Nov : Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam lebih menekan dan zalim terhadap rakyat.
“AMK melihat RUU ini lebih zalim berbanding peruntukan Seksyen 27 di bawah Akta Polis 1967 serta mencabuli hak kebebasan berhimpun,” katanya pada satu kenyataan media.
Katanya, melalui akta berkenaan, pihak polis diberi kuasa yang lebih luas dan berhak menahan mana-mana individu yang menyertai perhimpunan aman.
Menerusi Seksyen 15(2)(h), polis diberikan kuasa dalam membuat keputusan melibatkan tarikh, masa, tempoh dan lokasi perhimpunan serta kaedah berhimpun.
Lebih memburukkan lagi, katanya, individu yang melanggar mana-mana sekatan dan syarat yang ditetapkan oleh pihak polis boleh didenda sehinggaRM10,000.
“Justeru AMK melihat bahawa langkah terkini kerajaan dalam membentangkan rang undang-undang ini adalah bertujuan untuk terus menyekat dan menghalang kebebasan rakyat dari berekspresi dan menyatakan protes,” kata beliau.
Beliau turut bimbang akta ini akan disalahguna oleh kerajaan yang didukung Umno-Barisan Nasional dalam usaha mereka mengekang dan menyekat aktiviti politik parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat.
Tambahnya RUU yang lebih kejam ini jelas menunjukkan pengumuman Perdana Menteri 16 September lalu untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya satu ‘reformasi kosmetik’.
“Apa yang berlaku adalah sebaliknya dan seramai 13 individu telah ditahan di Sabah,” kata Shamsul.
Semalam, Pemuda Pakatan Rakyat mendesak semua tahanan Akta ISA dibebaskan serta merta kerana ia bersifat zalim dan tidak memberi peluang kepada mereka untuk membela diri.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.