KUALA LUMPUR, 30 Nov: Pihak Kerajaan BN tidak boleh menyalahkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor jika lambat mengeluarkkan Sijil Layak Menduduki (CF) ke atas projek perumahan di negeri itu kerana ia berpunca dari perbuatan pemimpin-pemimpin Umno sendiri yang kebas duit.
Pengeluaran CF tidak boleh dilakukan dengan mudah kerana tertakluk kepada beberapa syarat tertentu yang mesti dipenuhi untuk membolehkan CF dikeluarkan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, antara syarat-syarat tersebut termasuklah yang membabitkan penyelesaian penyerahan tanah dengan sempurna, di samping rumah terbabit mestilah siap sepenuhnya dan selamat untuk diduduki.
Menurut beliau, bagaimanapun Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa menanggung beban amat berat berhubung perkara itu sebaik sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan dari BN sejak tahun 2008 hingga kini.
Katanya, semasa berada di bawah BN, projek-projek perumahan di negeri Selangor didapati banyak yang terbengkalai dan gagal disiapkan oleh pemaju disebabkan ramai pemimpin Umno yang terbabit dengan projek-projek berkenaan yang kebas duit dan kemudian terus cabut lari.
"Sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, terdapat beratus ribu unit buah rumah yang terbengkalai. Antaranya termasuklah di Seri Putri di Shah Alam," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Bebanan tersebut, menurutnya, tidak sepatutnya ditanggung oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana ia adalah angkara jelas dari sikap tidak bertanggungjawab pemimpin-pemimpin Umno.
Demi kepentingan rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat tetap juga berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu, tetapi untuk menyelesaikannya bukanlah sesuatu yang mudah dan pasti mengambil masa agak lama.
"Itulah sebabnya CF lambat dikeluarkan kerana CF tak boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenengnya, tetapi mesti ada syarat-syarat tertentu," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Menyentuh tentang kejadian yang berlaku bagi projek perumahan di Seri Putri, beliau amat kesal kerana Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemimpin-pemimpin Umno terbabit.
"Semua itu berlaku kerana kroni Umno. Pada hal sememangya terdapat bukti jelas wakil-wakil rakyat Umno BN yang ambil duit sehingga rumah terbengkalai dan rakyat yang menanggung akibatnya," tambahnya.
Beliau juga kesal kerana kejadian tersebut sepatutnya ditanggung oleh pemaju, tetapi tidak pula berlaku sedemikian, sebaliknya Kerajaan Pakatan Rakyat dan para pembeli pula yang terpaksa menanggung akibatnya. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.