30 Nov 2011

PAS persoal pengundi pos Titiwangsa ditambah

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Nov: PAS kawasan Titiwangsa mempersoal tindakan kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa telah membuat penambahan pengundi pos di Parlimen Titiwangsa yang kini berjumlah 1,100 orang.

Menurut Pengarah Jentera Pilihan Raya kawasan itu, Khairul Anuar Abdul Manap, penambahan itu didakwa berlaku bagi tahun 2011 untuk suku tahun kedua dan ketiga.

Dalam data bagi daftar pemilih suku ketiga tahun 2011, jelasnya seramai 51 pengundi baru didaftarkan sementara pengundi yang berpindah masuk ke Parlimen Titiwangsa sebanyak 471 orang.
"Dalam senarai daftar pemilih yang terbaru pula, didapati ada pertambahan empat kem tentera baru. Salah satunya adalah 93 Semboyan DiRaja yang dipindahkan daripada Parlimen Setiawangsa.

"Didapati seramai 152 orang pengundi telah dipindah masuk ke kem tersebut, manakala bagi 72 KN Semboyan DiRaja, pengundi baru yang berpindah masuk seramai 57 orang.

"Cawangan Siasatan Jenayah KPTD pula mencatatkan perpindahan masuk ke Parlimen Titiwangsa seramai 61 orang, dan 104 Kompeni KPTD seramai 255 orang.

Sehubungan itu, PAS Titiwangsa ujarnya mahu kerajaan menjelaskan apakah rasioanalnya kem 93 Semboyan DiRaja Setiawangsa dipindah masuk ke Parlimen Titiwangsa.

"PAS Titiwangsa mengesyaki pertambahan undi pos di Parlimen Titiwangsa menunjukkan seolah-olah ada usaha secara halus dan terancang untuk merampas kerusi Parlimen Titiwangsa secara mudah", katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.