KUALA LUMPUR, 30 Nov: PAS membidas sikap tidak bertanggungjawab ahli-ahli Parlimen Umno BN yang membuat tuduhan-tuduhan jahat terhadap parti itu dan Pakatan Rakyat, khususnya berhubung penyediaan perumahan kepada rakyat.
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, sebaliknya, PAS tidak sekali-kali akan menghalang sebarang projek perumahan untuk rakyat sekiranya ia benar-benar untuk rakyat dan dibuat kena dengan caranya.
Katanya, tentangan dan halangan yang diberikan oleh PAS berhubung sesuatu perkara mempunyai asas yang kukuh dan tidak sekali-kali untuk menyusahkan rakyat.
"Sekiranya satu-satu projek itu untuk rakyat dan dibuat kena dengan caranya, PAS tak halang. PAS tak akan halang atas sebab politik sebab susah nak jawab dengan Allah nanti," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ketika berucap membahaskan pembentangan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia 2011 bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata, tuduhan tersebut ternyata tidak berasas dan menyimpang sama sekali dengan realiti halangan PAS mengenai sesuatu projek yang dibuat oleh Kerajaan BN.
Sebelum itu Ahli Parlimen Tenggara (BN) ketika berucap membahaskan rang undang-undang itu memuji langkah Perdana Menteri membentangkan rang undang-undang berkenaan kerana didakwa amat baik untuk rakyat, tidak seperti pembangkang yang didakwa pasti membangkang projek-projek untuk kepentingan rakyat.
Menurut Siti Mariah, tuduhan tersebut ternyata tidak berasas, malah PAS pasti bersetuju sekiranya sesuatu projek yang dibuat itu sememangnya benar-benar untuk kepentingan rakyat dan tidak mengandungi motif tertentu dari para pemimpin Umno BN bagi kepentingan peribadi mereka.
Beliau bagaimanapun hairan dengan tindakan Kerajaan BN yang membentangkan rang undang-undang tersebut sehingga terpaksa diwujudkan satu lagi perbadanan untuk melaksanakannya yang dinamakan Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia.
Katanya, penubuhan perbadanan itu jelas kelihatan sesuatu yang sia-sia, malah akan mempertingkan lagi kos atau perbelanjaan kerajaan.
"Kini pihak Kerajaan telah menubuhkan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan telah memperkenalkan beberapa program termasuk Rumah Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat, tapi apa guna diwujudkan satu lagi pernbadanan baru itu," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mempersoalkan kemampuan pengerusi dan kakitangan perbadanan itu dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, memandangkan SPNB sendiri sebelum ini telah gagal melaksanakan peranannya dengan baik.
"Apa rasionalnya penubuhan perbadanan itu? Mungkinkah ia hanya akan mengulangi lagi kesilapan yang lalu seperti yang telah berlaku dalam SPNB," ujarnya.
Kewujudan perbadanan tersebut diyakini menyebabkan negara semakin kehilangan tanah-tanah rezab kerana ia pasti mempunyai kuasa lebih meluas untuk pengambilan tanah rezab bagi pelaksanaan projek itu.
"Sebelum ini tanah rezab sudah banyak diambil tapi tidak pun digantikan dan tindakan ini jelas bertentangan dengan Akta Tanah Negara," katanya.
Beliau juga bimbang rumah-rumah yang didirikan itu nanti gagal dibeli oleh mereka yang benar-benar memerlukan rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, sebaliknya akan dimiliki oleh kroni-kroni pemimpin Umno BN dan mereka yang berpendapatan tinggi sekitar RM7,000 sebulan. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.