30 Nov 2011

Jihad: Lucunya kenyataan Muhyiddin

Jihad: Lucunya kenyataan MuhyiddinKUALA LUMPUR- Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup sedih dan kecewa di atas ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sama sekali tidak menunjukkan beliau selaku orang nombor 2 negara yang mempunyai daya fikir intelek yang tinggi dan budi bahasa yang baik.
Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, semasa merasmikan serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno malam tadi, Muhyiddin meneruskan perseteruan terhadap Pakatan Rakyat dan PAS secara khususnya dengan alasan yang berbentuk fitnah dan dangkal.
“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengingatkan Umno bahawa keangkuhan mereka sebagai parti yang tiada galang ganti untuk meneruskan agenda perjuangan bangsa Melayu sudah lapuk ditelan zaman kerana PAS sudah bersedia untuk memimpin bangsa Melayu ke arah suasana politik yang lebih kondusif bahkan lebih lagi PAS menawarkan perjuangan bangsa Melayu menurut ajaran Islam yang syumul,” ujarnya kepada Harakahdaily.
PAS, tegasnya akan menggantikan Umno untuk membela nasib bangsa Melayu yang selama ini menjadi mangsa ‘belasahan’ Umno.

Jadi, tambahnya Umno sememangnya berada di dalam keadaan cukup terdesak kerana PAS dan Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat untuk memerintah negara ini.
“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendapat bahawa cabaran Timbalan Perdana Menteri kepada para Puteri, Pemuda dan Wanita Umno untuk menjadi mujahid dan mujahidah yang akan berjihad untuk mempertahankan bangsa Melayu di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang adalah sebuah lelucon yang amat menggelikan hati,” katanya lagi.
Menurutnya, Umno sebagai sebuah parti sekular yang memisahkan agama di dalam agenda perjuangan politik mereka sanggup menggunakan istilah-istilah Islamik supaya nampak agenda Islam mereka tetapi sebaliknya bersifat munafik semata-mata.
Mohd Sany berkata, sepatutnya jihad yang utama adalah menegakkan hukum syariat Allah Taala di atas muka bumi ini dan bukannya berjihad di atas nama bangsa.
Beliau menambah, Jabatan Pilihanraya DPPM turut mengingatkan kepada seluruh jentera pemuda di semua peringkat supaya meningkatkan kewaspadaan dan kebersediaan untuk menghadapi pilihanraya yang mendatang.
Katanya lagi, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat Umno kini semakin gawat dan tidak keruan, tidak mustahil sepanjang perhimpunan Agung Umno ini akan menjadi perhimpunan yang akan dipenuhi dengan segala macam kenyataan-kenyataan yang bersifat hasutan, ancaman, tuduhan, prejudis, rasis dan sebagainya.
Oleh itu, ujarnya, pihaknya meminta supaya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan menolak secara total parti Umno dan Barisan Nasional kerana pembawaan politik sempit mereka sudah tidak diterima lagi oleh rakyat.
Selain itu, kata beliau, pihaknya mengarahkan jentera pemuda di semua peringkat untuk membuat laporan polis di atas kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno yang bersifat menghasut dan menimbulkan kebencian orang Melayu untuk terhadap orang-orang bukan Melayu dan orang-orang yang bukan beragama Islam.
-Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.