SHAH ALAM, 8 Okt: Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin  Ali yang ditemui pada satu program di Shah Alam menjelaskan bajet yang  telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam  merupakan satu bajet yang tidak berhemah.
Beliau berkata tindakan  tersebut jelas kerana melihat kepada pengurusan kewangan yang  dilaporkan itu lebih terjurus kepada amalan defisit yang tinggi.
"Secara keseluruhan ini adalah tahun ke 14 di mana kerajaan Barisan Nasional mengamalkan bajet defisit," katanya.
Tambahnya  lagi, walaupun keadaan ekonomi global pada hari ini membolehkan  pengurusan dijalankan di dalam bajet defisit tetapi Najib perlu beri  tumpuan kepada beberapa prinsip iaitu tata kelola yang baik atau lebih  kepada "good governance".
Selain itu juga kerajaan haruslah  mengamalkan pengurusan yang cekap tanpa ada ketirisan serta mengamalkan  prinsip 'value for money'.
"Namun kesemua prinsip tersebut tidak ditangani serta dinyatakan pada bajet kali ini," sambungnya.
Azmin  memberitahu, melihat kepada peruntukan yang diberikan iaitu sebanyak  RM232.8 bilion itu sebanyak RM181.6 bilion diberikan kepada perbelanjaan  mengurus manakala 51.2 bilion ringgit pula kepada perbelanjaan  pembangunan.
"Ini menunjukkan pengurusan kewangam yang tidak  berhemah di mana peruntukan pembangunan mengucup begitu mendadak dan kos  operasi serta mengurus itu terlalu besar.
"Kita juga dilaporkan  tadi bahawa kutipan hasil pada tahun hadapan berjumlah RM186 bilion  daripada kutipan hasil tersebut RM181 bilion digunakan untuk mengurus  maknanya untuk pembangunan itu diuruskan secara defisit.
"Maka tidak ada lebihan untuk pembangunan dan ini bagi saya satu pengurusan yang tidak berhemah," jelasnya lagi.
Sambungnya  lagi, Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada eksport  memerlukan satu usaha untuk menjana ekonomi dalaman tetapi kalau rakyat  tidak mendapat imbuhan gaji yang lebih baik dan selesa bagaimana mereka  boleh berbelanja.
"Sebab itu Pakatan Rakyat dalam belanjawan yang  dibentangkan menegaskan sasaran adalah menetapkan gaji minimum dan  perkara ini harus ditangani terlebih dahulu untuk meningkatkan  pendapatan mereka.
"Apabila pendapatan itu munasabah barulah  rakyat boleh berbelanja, bila adanya perbelanjaan di sini timbulnya  aktiviti ekonomi. Ini adalah prinsip asas tapi kalau tidak ada  pendapatan yang mencukupi dengan kos kehidupan yang tinggi bagaimana  kita hendak mengharapkan perbelanjaan yang boleh menjana ekonomi  negara," tegasnya.
Azmin juga berpendapat bajet ini adalah  merupakan bajet pilihanraya dan dalam masa yang sama beliau bimbang  kerana tidak ada keyakinan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha  untuk meningkatkan pendapatan secara berpanjangan.
"Pandangan  awal pada bajet tersebut memang nampak cantik tetapi sebenarnya ia tidak  dapat diterjamaahkan dalam bentuk tindakan yang lebih baik, rakyat akan  sentiasa tertipu dengan helah kerajaan itu," ulas Azmin lagi
sumber : Harakah Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.