|  KUALA LUMPUR, 8 Okt:  "Walaupun bajet kali ini tidak dinyatakan secara khusus peruntukan  untuk program Permata, tapi saya pasti tidak mustahil peruntukan  tersebut diselit pada mana-mana program kerajaan," jelas Naib Presiden  PAS, Datuk Mahfuz Omar. Pada Bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak petang semalam telah memperlihatkan tiada peruntukan khusus  diberikan kepada Program Permata sedangkan pada bajet sebelum ini  sebanyak RM110 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program  tersebut.
 Mahfuz juga menjelaskan tindakan Najib untuk tidak menyenaraikan  peruntukan tersebut mungkin telah menyedari bahawa terdapat bantahan  dari rakyat.
 
 "Mungkin beliau sudah menyedari bahawa rakyat sudah memberontak  dengan tindaknya sebelum ini yang telah memberi peruntukan kepada  isterinya sendiri, Datin Seri Rosmah Mansor.
 "Tetapi dalam pada itu walaupun tiada penyenarai kita perlu melihat  kembali kemungkinan besar peruntukan tersebut dimasukkan ke dalam  peruntukan-peruntukan yang lain dan ini bagi mengaburi rakyat di luar,"  jelasnya.
 Tambahnya lagi, adalah satu yang mustahil kalau sebelum ini peruntukan diberi tetapi kali ini tidak dinyatakan langsung.
 "Kalau dulu ada peruntukan dan kali ini tidak dinyatakan bukankah itu  satu yang pelik dan apa yang telah terjadi kepada program tersebut  berjaya ataupun tidak, jika betul tidak disediakan peruntukan Najib  perlu jelaskan status program Permata dan apa yang terjadi kepada  peruntukan sebelum ini.
 "Jika peruntukan untuk Permata tetap ada sila nyatakan secara jelas  dan rakyat perlu tahu jangan diselindungkan hanya untuk kepentingan undi  pada pilihanraya yang akan datang," jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu  lagi.
 Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin juga bersetuju  bahawa secara kasar memang tiada peruntukan diberikan tetapi jika  dihalusi ia diselindung di bawah program tertentu.
 "Memang kita tidak melihat peruntukan diberikan tetapi saya pasti  peruntukan sebenarnya ada tetapi dimasukkan di bawah program tertentu.
 "Dalam pada itu saya tidak menolak melalui bajet tambahan mungkin  selepas pilihan raya nanti, satu nilai yang besar akan diberikan khusus  kepada program Permata dan inilah cara yang digunakan oleh kerajaan bagi  mengaburi mata rakyat untuk mendapat undi kepada mereka.
 "Rakyat sudah jemu dengan sikap Najib kerana telah merajakan  isterinya dengan pelbagai kemudahan kewangan sedangkan Perdana Menteri  sebelum ini tidak menpunyai sikap sepertinya," kata Ahli Parlimen Ampang  itu.
 sumber : Harakah Daily
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.