“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah  kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi,  tetapi mereka mendustakan (aat-ayat Kami) itu, Maka kami siksa mereka  disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)
Belanjawan Tahunan  Kerajaan adalah instrumen utama dalam urustadbir kewangan negara yang  memperincikan perancangan dan unjuran pendapatan serta perbelanjaan  sesebuah negara bagi tahun akan datang. Komponen utama sesebuah  belanjawan adalah cukai (tax) dan perbelanjaan kerajaan (government  spending) demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan  (growth), mengawal inflasi (inflation) dan mengurangkan kadar  pengangguran (unemployment). Setiap instrumen di dalam Belanjawan  dirangka mengikut ideologi dan falsafah keutamaan sesebuah kerajaan  dengan mengambil kira senario ekonomi dalaman dan luaran semasa.
Walaubagaimanapun,  pembentangan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah  amat membimbangkan dari aspek struktural dan kitaran, atas faktor tiada  keseimbangan di dalam usaha meningkatkan daya mampu ekonomi domestik dan  mempersiapkan daya tahan negara menempuhi kesan kelembapan ekonomi  luaran.
Pertumbuhan KDNK 2012 diunjurkan sekitar 5% - 6% di  samping kadar inflasi yang masih berlegar di kadar 3% - 4% dan paras  pengangguran di bawah 3.5%. Bajet 2012 memperuntukkan jumlah  perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan buat 14 tahun berturut-turut,  dengan anggaran defisit 4.7% bagi tahun 2012 berbanding 5.4% bagi tahun  2011 yang merupakan unjuran yang sangat optimistik
berbanding situasi suku ketiga 2011 yang ditampung oleh impak kenaikan pendapatan hasil daripada sumber komoditi dan bahan asli.
Malaysia di ambang krisis hutang
Bagi  menampung peningkatan perbelanjaan, kerajaan terpaksa meminjam dalam  keadaan nisbah hutang kepada KDNK sekarang berada di paras 53% dan jika  mengambil kira kemungkinan situasi kelembapan ekonomi bagi tahun akan  datang, sebarang belanjawan tambahan (supplemental budget) akan hanya  menatijahkan kadar hutang negara ke paras kritikal 60% seterusnya  membawa kepada kancah krisis hutang negara sebagaimana yang dihadapi  kuasa ekonomi Eropah sekarang.
Mesra rakyat tetapi dingin pelabur
Dalam  senario ketidaktentuan pasaran di Eropah dan Amerika, pelabur-pelabur  dari Timur Tengah, dan China mula mengalihkan tumpuan kepada destinasi  pelaburan yang mampu menjamin suasana kondusif untuk pelaburan,  terutamanya untuk mengambil peluang peningkatan permintaan domestik dan  kerancakan pembangunan, khususnya di dalam sektor komoditi dan  perkhidmatan.
Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri  gagal memberi isyarat mengalu-alukan pelaburan baru dan sedia ada untuk  turut serta dalam usaha transformasi ekonomi ke arah ekonomi  berpendapatan tinggi.
Bagaimana mengimbangi defisit
Teras  utama dalam pengagihan belanjawan adalah mekanisma penyampaian oleh  pihak kerajaan. Pastinya semua pihak, baik yang layak mahupun yang  oportunis, ternanti-nanti agihan peruntukan besar oleh pihak kerajaan.  Asas utama adalah amanah si pemberi dengan mengambil kira prioriti dan  merit si penerima.
Pihak kerajaan mampu mengurangkan kadar  defisit melalui beberapa transformasi dalam aspek pendapatan dan  perbelanjaan, khususnya melalui penambahbaikan sistem serahan dan  kutipan cukai yang efisien serta peningkatan penguatkuasaan  eksport-import di sempadan. Dalam aspek perbelanjaan, penjimatan boleh  dicapai dalam kos perjalanan, penerbangan dan aktiviti latihan di luar  negara serta meningkatkan kadar penggunaan aset kerajaan secara optima.
Rakyat berhak membuat pertimbangan
Dengan  pembentangan Bajet 2012 ini, jelas sekali gendang pilihanraya telah  dibunyikan dan menandakan hari-hari yang mendatang bakal ditabur dengan  agenda propaganda pihak kerajaan dan pihak pembangkang untuk mendapatkan  keyakinan dan mandat rakyat di dalam pilihanraya umum ke-13.
Justeru,  pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri perlu menyatakan iltizam dan  komitmen untuk merealisasikan budaya politik matang dengan memberi ruang  lebih besar kepada rakyat berpatisipasi di dalam pilihanraya yang adil  dan telus, demi menatijahkan lembaran baru di dalam sejarah Malaysia.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
**Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia.
sumber : Harakah Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.