KUALA LUMPUR, 8 Okt: PAS tidak terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012 semalam kerana pemberiannya banyak bersifat one-off.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan akan dapat  menampung pemberian one-off tersebut kerana tidak ada jaminan subsidi  barang keperluan asas tidak akan dikurangkan tahun hadapan.
Belanjawan ini, katanya sekaligus tidak dapat membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi.
"Banyak perkara yang diumum bersifat one off. Semua itu dapat dicover  balik oleh kerajaan kerana kerajaan tidak memberikan jaminan subsidi  harga minyak dan keperluan asas yang lain tidak akan dikurangkan pada  2012.
"Rakyat akan berhadapan dengan kos sara hidup dan belanjawan hari ini  tidak menyelesaikan masalah seperti yang diwarwarkan iaitu hendak  menyelesaikan masalah beban kos sara hidup rakyat," kata beliau ketika  ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan belanjawan petang semalam.
Antara bayaran secara one-off ialah bantuan kepada bekas kakitangan  Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan dan Jabatan  Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan kementerian Kemajuan Luar Bandar dan  Wilayah (KKLW) seramai 4,300 orang.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut  berkata, Datuk Seri Najib Razak  dilihat ingin "berlawan" dengan Pakatan Rakyat dengan cuba mempamerkan  belanjawan yang lebih baik daripada yang dibentangkan Pakatan, Selasa  lalu.
"Kerajaan terdesak kerana ingin menunjukkan belanjawannya lebih baik daripada belanjawan Pakatan.
"Nampaknya Najib berpegang pada konsep "perlawanan" dalam  pembentangan bajet. Tapi apa yang penting, rakyat dapat apa yang  diumumkan," katanya.
Syarikat teksi untung
Selain itu, mengulas mengenai pengecualian 100 peratus duti eksais  dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan, beliau  berkata ianya lebih menguntungkan syarikat teksi daripada pemandunya.
"Sepatutnya Najib mengumumkan penghapusan permit syarikat teksi dengan diberikan permit kepada individu," katanya.
Ogos lalu, Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan  Selangor menganjurkan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Rakyat menuntut  sepuluh resolusi bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Dalam pertemuan tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  mendedahkan seorang bekas menteri diberikan sebanyak 100 permit teksi  walaupun individu berkenaan telahpun menerima saham dalam syarikat  bumiputera.
Keadaan itu memeritkan golongan pemandu teksi yang terpaksa menyewa teksi daripada syarikat berkenaan.
sumber : Harakah Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.