
Mengenai titah Baginda itu, saya suka melihatnya dari dua perspektif. Pertama, dari sudut bahasa titah itu sendiri yang begitu tegas menghendaki supaya perkara pemesongan akidah tidak lagi berlaku di negeri Selangor. Kedua, dari sudut semangat (spirit) titah tersebut dalam mana Baginda Sultan sebagai payung agama menzahirkan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap Islam khususnya yang berkaitan dengan akidah ummat.
Daripada kedua-dua perspektif yang dinyatakan di atas, saya membuat kesimpulan bahawa Baginda Sultan mahukan MAIS dan JAIS sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung dalam isu ini supaya bertindak secara profesional.
Saya akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah JAIS dan Ketua Penguatkuasa Agama bagi menyelami dan mengambil iktibar dari isi kandungan titah tersebut. Saya juga akan menentukan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan yang akan dilakukan mestilah menggunakan sistem pengurusan berprestasi tinggi dan peralatan yang canggih supaya setiap kes yang diambil dapat dipertahankan di muka keadilan.
Saya gembira atas kenyataan Baginda bahawa memang sebenarnya wujud cubaan memesongkan akidah di DUMC pada 3 Ogos yang lalu. Saya juga berasa lega bahawa siasatan JAIS itu telah dilakukan mengikut lunas undang-undang. Ia dengan sendirinya menyangkal dakwaan yang Pegawai Penguatkuasa JAIS membelakangkan peraturan dan undang-undang dalam menjalankan operasi tersebut.
*Kenyataan media oleh Hasan Ali (gambar kiri) selaku EXCO Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.