KUALA LUMPUR, 10 Okt: Rakyat Malaysia sehingga kini rata-ratanya masih berada dalam keadaan daif, manakala di kalangan pekerja pula masih juga terdapat mereka yang diperlakukan seperti khadam serta dibayar gaji di bawah paras kemiskinan.
40 peratus dari rakyat Malaysia tinggal di dalam isi rumah yang berpendapatan bulanan kurang dari RM1,500 sebulan, manakala tiga perempat dari golongan itu adalah berketurunan Melayu (Bumiputra) yang kononnya dibela oleh Umno BN.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun dalam masa yang sama, kekayaan negara dipusatkan kepada segolongan kecil golongan kaya dan mahakaya, dengan 50 peratus kekayaan dan pendapatan yang dijana oleh ekonomi negara dibolot oleh golongan 20 peratus terkaya di negara ini.
Menurut beliau, sedangkan golongan 40 peratus terbawah yang rata-ratanya Melayu (Bumiputra) tidak ubah seperti melukut di tepi gantang yang hanya mendapat 15 peratus dari kekayaan dan pendapatan yang dijana.
Katanya, dalam keadaan seperti itu pun, masih wujud fenomena ketidakseimbangan di antara keperluan tenaga mahir dan tuntutan industri serta pergantungan kepada pekerja asing yang memberi kesan besar kepada pasaran kerja.
"Ini menyebabkan aliran wang tunai keluar negara sebanyak RM22 bilion setahun, sekali gus masih menjadi persoalan ekonomi mendesak yang perlukan penyelesaian segera," katanya ketika membahaskan Bajet 2012 Kerajaan Barisan Nasional pada persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Perdana Menteri menerusi Bajet 2012 yanbg dibentangkan 7 Oktober lalu, menurut beliau, menyandarkan angka pertumbuhan 5 hingga 6 peratus bagi tahun 2012 kepada perbelanjaan rakyat yang kononnya akan merancakkan penggunaan domestik.
Katanya, walaupun perbelanjaan domestik penting untuk menampung pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana global yang tidak menentu, sandaran kepada perbelanjaan rakyat untuk meransang pertumbuhan ekonomi perlu lebih realistik dengan mengambil kira faktor harga barang meningkat dan gaji rakyat yang tersekat di takuk lama.
"Sebab itu Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 mengambil keputusan memperkenalkan kembali cukai dan eksais ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, alat kosmetik, celana dalam dan lain-lain kerana ia tidak memberi manfaat kepada rakyat terbanyak sedangkan kos pelepasan cukainya ditanggung oleh kerajaan.
"Maknanya, kita wajar prihatin dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang terbeban dengan jumlah hutang yang membimbangkan," tegas beliau yang juga Ketua Umum PKR.
Pada akhir tahun 2010, menurutnya, jumlah hutang isi rumah yang ditanggung oleh rakyat Malaysia telah mencecah RM577 bilion bersamaan 77 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Katanya, nisbah jumlah hutang isi rumah kepada KDNK itu telah meningkat dua kali ganda semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan, iaitu 33 peratus dalam tahun 1997 kepada 77 peratus apabila Perdana Menteri mengemudi Kementerian Kewangan di akhir tahun 2010.
"Pendapatan rakyat setiap bulan sebahagian besarnya dihabiskan untuk membayar hutang kereta dan rumah. Lantaran itu, rata-rata rakyat Malaysia masih berada dalam keadaan yang daif," katanya merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri 7 Oktober lalu, tegasnya, mengelak sepenuhnya dari menjawab persoalan kerangka asas ekonomi seperti yang dinyatakan oleh beliau itu.
Katanya, terdapat perbezaan yang besar di antara perubahan dasar yang membawa impak ekonomi yang berkekalan dengan membaiki kerangka dan sistem ekonomi, berbanding dengan pengumuman-pengumuman pemberian peruntukan dan hadiah wang tunai bagi satu tahun sahaja seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri.
"Oleh sebab itulah, Pakatan Rakyat mengambil pendekatan dasar untuk membaiki kerangka ekonomi negara. Di antara tawaran Pakatan Rakyat yang sangat penting untuk membaiki struktur ekonomi negara adalah untuk memastikan dasar gaji minima terlaksana.
"Apa yang sangat ditakutkan kepada dasar gaji minima, sedangkan kajian Bank Dunia menunjukkan kadar RM1,100 seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat mampu ditanggung oleh majikan dan ekonomi," katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, katanya, seolah-olah lebih mengutamakan lobi taukeh-taukeh besar dan kroni mahakaya daripada keperluan jutaan rakyat yang sangat mengharapkan satu anjakan gaji yang menyeluruh meliputi 12 juta tenaga kerja di negara ini, bukannya gula-gula yang hanya memikat pekerja sektor awam tetapi mengenepikan kebajikan 90 peratus tenaga kerja yang lain.
"Oleh kerana pendekatan Belanjawan 2012 kerajaan Umno Barisan Nasional adalah penjenamaan semula yang pastinya akan melibatkan banyak peruntukan pengiklanan dan perunding, Dewan Rakyat berhak tahu secara teperinci berapa yang telah diperuntukkan kepada firma-firma asing dan tempatan bagi tujuan pengiklanan dan putar belit (spin).
"Berapa juga jumlah kontrak bagi tujuan ini yang telah ditandatangani?" tegas beliau.
sumber : Harakah Daily
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.