KUALA LUMPUR, 10 OKT – Bajet 2012 Barisan Nasional bukan sahaja indah khabar dari rupa, malah realitinya bakal membebankan rakyat untuk jangka masa yang panjang.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, berbanding belanjawan oleh Pakatan Rakyat, Bajet 2012 BN hanyalah sekadar ‘ubat penahan sakit,’ bukan berniat untuk mengubati dan menyembuhkan terus ‘penyakit sebenar.’
Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, bajet itu jelas tidak dapat melakukan ‘transformasi’ sepenuhnya kepada ekonomi negara, apatah lagi mencapai matlamat menjadi ‘negara berpendapatan tinggi’ menjelang 2020.
Sebaliknya Pua berkata, Pakatan lebih optomistik dengan bukan sahaja telah menyediakan ‘ubat penahan sakit’ dan dapat menyembuhkan ekonomi, malah dapat melakukan belanjawan yang lebih baik dengan hanya menggunakan wang yang jauh lebih sedikit daripada BN.
“Belanjawan Pakatan lebih ke arah kebajikan jangka panjang dengan dasar-dasar memperbetulkan kembali putar belit kerajaan selama ini, bagi mengurangkan tekanan inflasi dan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Dalam belanjawan alternatif Kesejahteraan Untuk Semua 2012, Pakatan menyeru untuk menghapuskan monopoli-monopoli syarikat yang selama ini menghalang persaingan pasaran yang sihat, jelasnya.
Beliau memberi contoh syarikat Bernas yang mengawal sepenuhnya penjualan dan pengedaran beras tempatan.
Tambah Pua, belanjawan Pakatan jelas memastikan pasaran benar-benar bebas dan dapat bersaing secara terbuka agar rakyat mendapat manfaat dengan harga yang lebih rendah.
Oleh itu menurut Pua, Pakatan juga berniat ‘memperbetulkan’ kartel-kartel telekomunikasi, media, industri penerbangan, syarikat minyak dan gas serta industri-industri lain yang selama ini tidak kompetitif.
“Sebagai contoh, di bawah Pakatan, semua Permit Import (AP) untuk mengimport kereta akan ditender secara terbuka, bukan untuk keuntungan kerajaan semata, tetapi bagi memastikan hanya ahli perniagaan yang benar-benar telus yang mendapatnya. Bukan kroni atau jenis mereka yang menjadi ‘orang tengah’,” katanya.
Justeru Pua berkata, hanya dengan perubahan struktur yang dikemukakan Pakatan inilah bakal memastikan kos sara hidup lebih rendah untuk rakyat bagi jangka masa panjang.
“Hanya dengan urus tadbir yang cekap dan telus serta political will sahaja yang dapat menstruktur semula ekonomi negara.
“Kerajaan BN sepatutnya tidak perlu lagi mengenakan cukai kepada rakyat melalui Cukai Perkhidmatan (GST).
“Justeru, inilah perbezaan asas antara belanjawan Pakatan dan BN. Yang satu itu hanya indah khabar dari rupa yang membuatkan rakyat berasa baik hanya untuk tempoh singkat, manakala belanjawan Pakatan bertujuan menyembuhkan terus kesakitan dan penyakit dengan menggunakan kos yang serendah mungkin,” katanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.