KUALA LUMPUR, 10 OKT – Usaha pembaharuan oleh Barisan Nasional berkaitan Bajet 2012 tidak akan berjaya sama sekali jika sistem korup yang menghasilkan ketidakadilan, ketidaksamarataan, dan penyelewengan, tidak disentuh dalam bajet tersebut.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebenarnya untuk memancing undi bagi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
“Bajet yang diumum Jumaat lalu adalah bajet gula-gula untuk meraih undi. Ianya adalah bajet yang paling tidak sopan dan sinis dalam sejarah negara untuk memancing undi dari kumpulan sasaran bank undi,” katanya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ini adalah satu petanda nyata Najib tidak berniat memulihkan sistem, sebaliknya mementingkan undi.
“Bajet itu dicipta untuk memenangi pilihan raya akan datang, bukan untuk mereformasi dan mentransformasi sistem negara ini,” katanya.
Tambah Kit Siang, Malaysia telah tewas dalam persaingan antarabangsa dan ditinggal jauh oleh negara-negara Asia Tenggara dalam bidang ekonomi, dan pembangunan sumber manusia.
“Transparency International Malaysia mengeluh bahawa Bajet 2012 sebagai ‘gagal mengubah negara ke arah ketelusan dan akauntabiliti,’ yang turut dijelaskan oleh pakar-pakar ekonomi sebagai ‘bukan kegiatan untuk pasaran.’
“Inilah apa yang silapnya dalam Bajet 2012 Najib,” katanya.
Berhubung usaha Najib untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, Kit Siang berkata, ianya tidak mencukupi bagi Perdana Menteri dengan hanya memberikan wang tunai secara ‘sekali jalan’ kepada kumpulan-kumpulan tertentu kerana kerajaan selama ini telah mengabaikan kebajikan rakyat yang menghadapi tekanan kos sara hidup yang sama.
Justeru, beliau menjelaskan, subsidi yang lebih ketat yang disasarkan kepada golongan miskin harus diletakkan di tempat yang betul, mengikut kategori pekerjaan bagi memastikan bahawa rakyat yang benar-benar memerlukan diberi pertolongan. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.