(Oleh: Ahmad Fadli)
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober lalu dibentang tanpa meneliti laporan Ketua Audit Negara. sepertimana kebiasaan.Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan tersebut juga dibentang tanpa meneliti laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara.
“Belum pernah berlaku laporan Ketua Audit Negara belum dibentangkan sebelum belanjawan dibentangkan.
“Adakah ini untuk mengelakkan Yang Berhormat (Ahli-ahli Parlimen) membahaskan laporan Ketua Audit Negara itu?” soal Anwar ketika membahaskan belanjawan 2012 di parlimen hari ini.
Menurut Anwar, peruntukan sebanyak RM232.8 bilion juga terlalu membazir ketika negara kini mengalami defisit perbelanjaan untuk 14 tahun berturut-turut.
Justeru itu, beliau mencabar Belanjawan 2012 diunjur semula kepada RM220 bilion sahaja seperti Belanjawan Kesejahteraan untuk Semua yang dibentang PakatanRakyat 4 Oktober lalu.
Potongan dan kajian semula itu juga perlu dilakukan kerana belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri dibuat berdasarkan unjuran defisit dan pertumbuhan yang tidak tepat.
“Perbelanjaan RM232.8 bilion yang diumumkan (Najib) adalah berasaskan angka-angka unjuran yang tidak tepat dengan penambahan beban hutang rakyat dan negara.
“Unjuran defisit pada angka 4.7% ini adalah tidak tepat dan tanpa wibawa kerana ia bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tahun 2011 dan unjuran 2012, serta unjuran jumlah pendapatan negara dalam tahun 2012,” kata Anwar.
Pendapatan negara yang akan tumbuh pada kadar lima hingga enam peratus yang diumumkan Najib juga, kata Anwar, jauh tersasar daripada jangkaan penganalisa ekonomi tempatan dan dunia.
Beliau mengambil contoh RHB Bank dan Malaysian Institute of Economic Research yang menjangkakan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada kadar antara 4.8 ke 5.7 peratus sahaja berdasarkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Anwar dalam perbahasan tersebut juga percaya, Najib sengaja mengelirukan rakyat dengan unjuran pertumbuhan ekonomi tinggi agar Kerajaan Persekutuan boleh menuntut dividen lebih tinggi daripada Petronas.
“Begitu juga dengan unjuran pendapatan sebanyak RM186.9 bilion. Berdasarkan unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan, unjuran pendapatan mendedahkan niat tersirat Barisan Nasional untuk menuntut dividen yang tinggi daripada Petronas,” kata Anwar
sumber : Keadilan daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.