(Nabihah Hamid)
PUTRAJAYA: “Kami tunggu respon PM,” kata Zulfadzli Abdul Halim, penyelaras Akademi Pak Sako selaku penganjur debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak dalam isu ekonomi dan Belanjawan 2012.Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat jemputan Majlis Debat Belanjawan kira-kira jam 11 pagi tadi di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, selain diterima Ketua Pembangkang di ibu pejabat KEADILAN.
Anwar sebelum ini menyatakan kesediaan untuk berdebat, malah menyambut baik tawaran mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk debat terbuka itu.
Ketua Umum KEADILAN berkata berharap agar debat berkenaan berlangsung sebelum perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat berakhir bagi penggal ini.
“Saya menyambut baik, mana-mana NGO yang ingin menganjur perdebatan. Saya harap disegerakan sebelum tamat perbahasan Belanjawan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen beberapa hari lalu.
Bercakap kepada KeadilanDaily, Zulfadli berkata, Akademi Pak Sako turut mempelawa NGO lain untuk turut serta menjayakan debat itu.
“Kita alu-alukan sesiapa yang sukarela bekerjasama dan berharap debat ini dapat dianjurkan dengan jayanya.” katanya.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar turut menyokong badan-badan lain untuk sama-sama turut serta.
“Seperti Akademi Pak Sako, NGO lain perlu turut tampil untuk kerjasama. Ini kerana debat ini bukan di atas kepentingan politik. Ia mengenai hal ehwal negara khususnya dalam ekonomi.”
Minggu lalu, Anwar mencabar Najib yang juga menteri kewangan supaya berdebat secara terbuka berhubung kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 yang dibentang 7 Oktober lalu.
Debat berkenaan ditetapkan pada Khamis, 3 November jam 9 malam di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya jika kedua-dua pihak bersetuju.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.