Saya bersyukur atas anugerah hak asasi Hellmann- Hammett bagi tahun 2011.
Pemberian anugerah ini merupakan satu sokongan penting untuk saya dan tepat pada masanya untuk saya meneruskan usaha menentang penapisan dan pelanggaran hak asasi melalui karya-karya saya. Kerana itu saya berterima kasih kepada Yayasan Hellmann-Hammett dan Human Rights Watch atas pemilihan saya sebagai salah seorang pemenang dari 44 pemenang bagi tahun ini.
Saya gembira menjadi orang Malaysia pertama yang memenangi anugerah ini sejak ia diperkenalkan 22 tahun lalu.
Tapi dari sudut yang lain, saya bimbang kerana ini juga bererti iklim hak asasi, kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di Malaysia sedang merosot teruk.
Dalam masa kebanyakan negara lain melakukan reformasi, Malaysia berundur semakin jauh ke belakang untuk bergelumang bersama kelompok negara-negara kuku besi lainnya.
Perdana Menteri Najib Razak bercakap lunak tentang transformasi dan liberalisasi, tetapi terus menyekat pandangan alternatif dengan menekan golongan karyawan serta aktivis media dengan undang-undang jenayah.
Undang-undang seperti Akta Mesin Cetak & Penerbitan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat terus dipergunakan untuk menyekat suara alternatif dan mereka yang tidak sealiran dengan selera politik pemerintah.
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan mensyaratkan setiap pemilik media untuk memohon lesen pernerbitan setiap tahun. Pihak kerajaan berhak melulus atau menolak permohonan ini tanpa perlu memberi sebarang alasan.
Dan keputusan kerajaan tidak boleh dicabar di mahkamah. Sekarang kerajaan sedang berusaha meluaskan skop PPPA untuk turut melibatkan bahan-bahan dalam internet.
Kawalan media semakin ketat; tidak ada berita, artikel, opinion dan editorial kartun yang mengkritik dasar-dasar kerajaan dalam media arus perdana baik media cetak dan media eletronik. Semuanya memuji dan mengampu.
Kedudukan Malaysia dalam ranking kebebasan media merosot ke tangga 146 dari 196 negara dalam tahun 2011 berbanding tempat ke 141 dalam tahun 2010 dan 131 dalam tahun 2009.
Kawalan ketat terhadap media menunjukkan Perdana Menteri, Najib Razak tidak berminat untuk melawan rasuah.
Najib menjauhi demokrasi sebaliknya mebawa Malaysia kearah "Demokrisis."
MENGENAI ZUNAR
Saya adalah kartunis editorial sejak 30 tahun yang lepas. Karya-karya saya memfokuskan untuk membongkar perlakuan rasuah dan salah laku oleh kerajaan Barisan Nasional.
Antara isu dalam kartun saya ialah pembunuhan Altantuya, skandal Scorpene, Pembaziran oleh Perdana Menteri dan Isterinya, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, salah guna kuasa dalam kehakiman, kekejaman polis dan sebagainya.
Akhbar-akhbar di Malaysia (yang dikuasai kerajaan) tidak menyiarkan kartun-kartun saya. Saya terpaksa mencari ruang alternatif. Sekarang berkarya untuk akhbar internet, Malaysiakini.com disamping menerbitkan buku dan majalah sendiri.
a) Pada 24 September 2010, saya telah ditangkap dan dimasukkan ke lokap di bawah Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atas penerbitan buku terbaru, "Cartoon-O-Phobia."
Saya dibebaskan keesokan hari atas perintah mahkamah.
b) Pada bulan Jun tahun yang sama, kerajaan mengharam buku-buku saya iaitu 1 Funny Malaysia, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun vol 1, Isu Dalam Kartun vol 11 dan Isu Dalam Kartun vol 111 atas alasan buku-buku tersebut "boleh mengancam ketenteraman awam".
c) Sebelum itu, majalah saya, Gedung Kartun juga diharamkan.
d) Selain itu, pejabat saya di Kuala Lumpur juga sering diserbu, buku-buku dan majalah saya dirampas, kilang pencetak diberi amaran agar tidak mencetak buku-buku saya dan pekedai di seluruh negara diugut supaya tidak menjual buku-buku saya.
e) Saya telah memfail kes untuk mencabar pengharaman buku-buku saya, tetapi mahkamah, seperti yang diduga menolak kes tersebut.
f) Saya memfail satu lagi kes bagi mencabar penangkapan tidak sah terhadap saya yang dilakukan pada September 2010, dan mahkamah mula bersidang 13 September.
PROFIL
* Award:
1. "Kebaranian Dalam Melukis Kartun Editorial untuk 2011" oleh Cartoonists Rights Network International (CRNI).
2. Artist-in-Residence 2011 oleh BilbaoArte/Fundacion dan BBK, Sepanyol.
*Buku:
1. Cartoon on Tun
2. 1 Funny Malaysia
3. Cartoon-O-Phobia
4. Even My Pen Has A Stand
5. Gedung Kartun
6. Perak Darul Kartun
7. Isu Dalam Kartun
LATAR BELAKANG AWARD
Anugerah Hellman/Hammett yang diurus-tadbir oleh Human Rights Watch diberi secara tahunan kepada penulis (juga dalam kes saya, pelukis kartun editorial) yang menghadapi ancaman dari kerajaan kerana karya-karya mereka.
Ia bermula sejak tahun 1989 apabila penulis teater Amerika Lillian Hellman mewasiatkan asetnya untuk membantu penulis yang menghadapi tekanan politik kerana karya-karya mereka dan juga bantuan kewangan.
Pemilihan pemenang dilakukan oleh sebuah jawatankuasa bebas yang terdiri dari pengarang, penulis dan wartawan terkemuka.
*Kenyataan daripada Zunar, kartunis politik.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.