15 Sept 2011

Khalid Samad: SPR sering beri jawapan putar belit

Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 15 Sept: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sering memberikan jawapan penuh putar belit berhubung masalah pengundian dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan oleh pihak PAS dengannya.

Antara jawapan putar belit yang diberikan oleh SPR itu terutama yang berkaitan dengan desakan PAS kepada badan itu agar digunakan dakwat kekal dalam pilihanraya.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Samad (gambar) berkata, apabila cadangan penggunaan dakwat kekal dibangkitkan, pihak SPR akan mengatakan tidak ada sebarang masalah bagi pengundian sama ada menggunakan dakwat kekal atau tidak kerana setiap warganegara Malaysia berhak dan boleh mengundi.

Menurut beliau, jawapan yang diberikan oleh SPR itu amat 'simple', malah untuk mengelakkan dari menggunakan dakwat kekal, para pegawai SPR menjelaskan setiap warganegara Malaysia boleh mengundi.

Katanya, tetapi persoalan yang muncul, benarkah setiap rakyat Malaysia boleh mengundi, pada hal untuk membolehkan seseorang itu mengundi mestilah mematuhi beberapa peraturan walaupun kepada warganegara.

"Mereka yang tidak berdaftar tidak boleh mengundi, pengundi yang berdaftar tetapi tidak membawa kad pengenalan untuk membuang undi tidak boleh mengundi, mereka yang datang lewat ke pusat pengundian juga tak boleh mengundi," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat Agung PAS, di sini.

Pihak SPR, menurut beliau, tidak sepatutnya memberikan jawapan yang sedemikian mudah untuk mengelakkan dari penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya.

Katanya, perlaksanaan pilihanraya pasti berlangsung dengan peraturan-peraturan tertentu termasuk mestilah pengundi-pengundi yang berdaftar, membawa kad pengenalan untuk membuang undi dan datang membuang undi sepanjang masa pusat pengundian dibuka seperti yang diwartakan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan, sekiranya dakwat kekal digunakan, perkara itu juga pasti akan dimasukkan ke dalam peraturan pilihanraya dan mestilah dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Tetapi dengan memberikan jawapan seperti itu, pihak atasan SPR dan para pegawainya ternyata hanya sekadar mahu melepaskan diri dari tekanan agar digunakan dakwat kekal dalam pilihanraya, walaupun perkara itu merupakan salah satu perkara penting bagi perlaksanaan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini seperti yang dituntut oleh Bersih," katanya.

Sehingga kini, jelasnya, beliau bersama PAS Selangor telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak SPR di pejabat SPR dan jawapan seperti itu sering diberikan oleh para pegawai SPR pada pertemuan-pertemuan tersebut.

Beliau yang amat kesal dengan tindakan SPR itu menambah, bagaimanapun dalam masa yang sama, masalah undi pos tidak juga diselesaikan, malah semakin bertambah terutama yang membabitkan undi pos tentera.

"Pada hal yang mengundi itu pula bukanlah tentera itu sendiri, tetapi orang lain. Ini menjadikan Kerajaan BN yang memerintah negara kita sekarang bukan dipilih oleh para pengundi berkenaan, tetapi pengundi-pengundi upahan yang dibayar oleh pihak Umno atau pihak Kerajaan BN sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.