SHAH ALAM, 15 Sept: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor sedang berusaha untuk membantu siswazah yang sedang mencari pekerjaan di negeri ini.
Pengerusinya, Raja Idris Raja Kamarudin (gambar) hari ini berkata, syarikat itu akan melancarkan program rangsangan kerjaya untuk siswazah 30 September ini.
Ia akan dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam 30 September ini.
Projek ini adalah sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh Perangsang Selangor, kata Raja Idris ketika memberikan kata-kata aluan dalam majlis taklimat mengenainya hari ini.
Raja Idris dilantik sebagai pengerusi Perangsang Selangor Mac lalu.
Menurut beliau, syarikat ini mensasarkan lebih 1,500 siswazah yang masih belum mendapat pekerjaan di Selangor untuk dibantu dengan latihan dan rangsangan.
Raja Idris berkata, program latihan ini merangkumi latihan dalaman iaitu 'soft skills' ataupun latihan kemahiran insaniah dan seteterusnya diikuti dengan pendedahan kemahiran hidup, iaitu 'life skills' atau lebih dikenali latihan praktikal.
Di samping mendedahkan mereka kepada peluang pekerjaan, siswazah ini juga didedahkan dengan program pembangunan usahawan muda yang dirancang untuk melahirkan para usahawan di kalangan mereka.
Selain memberikan latihan dan rangsangan, Raja Idris juga mencadangkan langkah pertama yang perlu diambil adalah tidak memberikan panggilan negatif seperti 'siswazah menganggur' kepada mereka.
Beliau mencadangkan mereka dipanggil, 'graduan atau siswazah yang masih mencari pekerjaan'. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.