Mungkin tepukan diberikan terlalu cepat, apabila Najib Razak mengumumkan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), satu kenyataan "berani" yang disifatkan sebagai "the most revolutionary statement daripada seorang Perdana Menteri". Pakar perlembagaan, mahupun peguam lebih berwaspada terhadap pengumuman ini, mengingatkan dua undang-undang baru "di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan" akan digubal sebagai pengganti kepada ISA.
Malah, Perkara 149 yang menghalalkan kewujudan ISA, dakwa Sivarasa Rasiah yang juga seorang peguam. Perkara 149 bersama Perkara 150 adalah antara dua perkara yang paling dipertikaikan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk sekian lama, malah disifatkan "lebih teruk" keadaannya selepas merdeka, berbanding dengan zaman penjajahan British.
Perkara 149 dan 150
Abdul Aziz Bari bermula dengan menegaskan bahawa ISA adalah bertentangan dengan rule of law, sebelum melanjutkan pembentangannya bagaimana Perkara 149 membenarkan parlimen untuk menggubal undang-undang yang mencabul hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan; dan Perkara 150 yang membenarkan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

Lantaran daripada itu, kerajaan diberi kuasa untuk mengisytiharkan darurat, sebelum atau sedang darurat itu berlaku, tanpa keputusan ini boleh dibawa untuk dikaji mahkamah. Malah, selagi darurat "hidup", maka undang-undang digubal di bawah Darurat akan hidup, suatu keadaan yang sungguh "bahaya", kata Abul Aziz Bari.
Pandangan ini dikongsi bersama Sivarasa Rasiah, yang juga tidak "positif" terhadap pengumuman Najib. Sivarasa memetik ayat dalam teks ucapan Najib Razak pada malam sebelum Hari Malaysia, berbunyi "dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan... untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara."
Beliau menjelaskan, Artikel 5 dalam Bahagian Dua Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang untuk dihadap ke mahkamah selepas ditangkap atas tuduhan tertentu, dinafikan begitu sahaja dengan Perkara 149. "ISA tidak sah jikalau Perkara 149 tidak wujud," tekannya.
Tiada lagi tahanan politik?
Apa yang membimbangkan Sivarasa adalah, Najib menyebut bahawa dua undang-undang baru di bawah semangat Perkara 149 akan digubal, maka kemungkinan undang-undang baru itu turut mencabul hak asasi manusia. Sivarasa tidak termakan dengan jaminan bahawa "mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik", mengambil contoh bagaimana beberapa orang reformis termasuk Tian Chua, Saari Sungip, Hishamuddin Rais dan lain-lain ditahan ISA pada April 2001, atas alasan "menyimpan bom petrol" - yang gagal dibuktikan sehingga hari ini.

Malah, Sivarasa Rasiah turut meragui azam politik Najib untuk melaksanakan kata-katanya, dengan mengambil kira reaksi anggota kabinet dan Ketua Polis selepas pengumuman Najib yang dianggap "bijak" dari segi politik itu. Sivarasa memetik teks asal Najib, "...suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus."
Perkataan "terus" memberi gambaran bahawa cadangan ini akan diusulkan dalam sidang parlimen akan datang, iaitu Oktober 2011, namun dua hari selepas itu, Menteri Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz mengumumkan bahawa ia akan dibentangkan tahun depan, bukan tahun ini, begitu juga dengan Ketua Polis Negara, kata Sivarasa.
"Perdana Menteri kata 'terus', tetapi Menteri di bawahnya, Ketua Polis di bawahnya, menangguhkan..." kata Sivarasa Rasiah. Abdul Aziz Bari turut berkongsi pengamatan yang sama, melihat kepada reaksi "lambat" Timbalan Perdana Menteri untuk menyokong pengumuman Najib, dan beberapa reaksi daripada pemimpin PERKASA.
*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.