Akhirnya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengisytiharkan kepada rakyat Malaysia 70,361 pemilih digugur dan 50 ribu lagi pemilih sedang disiasat. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Kamaruddin Mohamed Baria Setiausaha SPR kepada Bernama pada 27 September 2011. Daripada jumlah pemilih yang digugurkan, terdapat 69,293 adalah pemilih yang telah meninggal dunia dan baki 1,068 pemilih yang telah dilucutkan kewarganegaraannya oleh pihak JPN.

Pendedahan terbaharu SPR ini telah menolak penafian Pengerusi SPR Abdul Aziz Bin Mohd Yusof pada 19 Ogos 2011 yang telah menyatakan bahawa kemungkinan kesilapan dalam daftar pemilih SPR hanyalah 0.0001% sahaja. Jumlah pemilih yang digugur dan disiasat adalah 120,361 daripada 12.3 juta pemilih. Jumlah ini adalah 0.98 % bukannya 0.0001 % seperti yang didakwa oleh Pengerusi SPR. Jumlah pemutihan yang besar ini juga membuktikan dakwaan Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad Bin Wan Omar yang menyatakan bahawa kesilapan yang berlaku adalah kesilapan kerani SPR adalah tidak benar. Tidak mungkin kesilapan kerani SPR sehingga melibatkan ratusan ribu data SPR.

Pemuda PAS mahu terus mendesak kepada SPR agar mengemukakan hasil siasatan ke atas 50 ribu pemilih yang pernah diwartakannya. Satu jawapan yang bertanggungjawab daripada SPR perlu dikeluarkan iaitu berapa ribukah jumlah pemilih yang memiliki kad pengenalan klon/palsu. SPR tidak boleh berdalih dalam perkara ini kerana Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad bin Wan Omar sendiri telah mengakui pada 24 Julai 2011 bahawa terdapat kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih sah SPR. Soalan ini boleh dipecahkan kepada berikut :
1. Berapa banyakkah kad pengenalan lama dimiliki oleh lebih daripada satu identiti pemilih?
2. Berapa ramaikah pemilih berkembar? (Memiliki nama pemilih yang sama dan kad pengenalan yang 83% adalah sama)
3. Berapa ramaikah pemilih yang berkod negara "71" yang telah digugurkan?

*Kenyataan media oleh Suhaizan bin Kayat (gambar kiri) selaku Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, merangkap Ketua Pemuda PAS Johor.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.