28 Sept 2011

Mansuh ISA sepenuhnya, tiada undang2 baru – Azmin

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat tidak akan menerima sebarang undang-undang untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mahu dimansuhkan kerajaan, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.
Bercakap selepas forum pasca ISA malam tadi, Azmin berkata pendirian Pakatan Rakyat adalah jelas iaitu memansuhkan ISA sepenuhnya dan tiada undang-undang baru dilaksanakan, lapor Malaysiakini.

Dalam forum berkenaan, Azmin berkata demokrasi tidak bermakna jika kebebasan dan hak rakyat dirampas, meskipun atas alasan keselamatan nasional.
Ini kerana katanya, keselamatan nasional juga sepatutnya bermaksud pemerintah melindungi hak dan kebebasan rakyat dalam negara.
“Apa makna keselamatan nasional jika pejuang kebebasan dan keadilan termasuk ahli politik, tokoh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), tidak selamat dari rejim pemerintah,” katanya dalam forum anjuran Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar (IKD).
Azmin menyifatkan Umno BN berfahaman kuno dengan menganggap soal keselamatan dan kebebasan adalah dua matlamat bertentangan.
“Pakatan Rakyat berpendirian, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan bergerak tidak bertentangan dengan keselamatan nasional.
“Jika pasukan keselamatan kita profesional, terlatih, cekap, dan tidak menjadi instrumen kepada parti politik, saya yakin mereka bukan sahaja mampu menjamin keselamatan nasional tetapi juga pelindung kepada hak dan kebebasan rakyat,” katanya.
Atas prinsip itu juga, katanya, Pakatan Rakyat menentang penggunaan ISA dan undang-undang seumpama dengannya yang membenarkan tahanan tanpa bicara.
“Tahanan tanpa bicara bertentangan dengan prinsip undang-undang yang menekankan ‘seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan’,” tegasnya.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.