(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR: Kebimbangan banyak pihak bahawa lebih banyak akta zalim bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri, sebenarnya berasas, kata Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.
Ini kerana katanya, dua undang-undang baru akan diwujudkan bagi menggantikan ISA berasaskan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Tahukah anda bahawa Perkara 149 inilah yang mengesahkan kewujudan ISA,” katanya pada Forum Politik Malaysia Pasca ISA di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam semalam.
Selain Sivarasa, forum anjuran Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar (IKD) itu turut menampilkan Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan pensyarah, Dr Wong Chin Huat sebagai ahli panel.
Manakala Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali turut hadir menyampaikan ucapan penutup pada forum berkenaan.
Sivarasa, berkata, Najib mengumumkan melalui akta baru itu, setiap tahanan akan dirujuk ke mahkamah terlebih dahulu sebelum tahanan lanjut, kecuali melibatkan pengganas.
“Tahukah anda, sebelum inipun, kebanyakan tahanan didakwa atas alasan terlibat dengan ancaman keselamatan negara dan majoritinya tahanan ada aktivis parti pembangkang,” katanya.
Beliau memberi contoh pada April 2001, Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Norian Mai memberi kenyataan bertulis enam aktivis pembangkang yang ditahan mengancam keselamatan negara.
“Apabila kita bantah dan mencabar kes ini di mahkamah, beliau gagal menunjukan sebarang bukti atas dakwaannya itu dan ini bukan kali pertama berlaku tetapi kerap menjadi skrip Umno BN bersama institusi kerajaan yang dikawalnya demi menghadkan pergerakan parti pembangkang,” tegasnya.
Sementara itu, Aziz bari berkata, Perkara 149 adalah undang-undang yang pelik kerana ia membelakangkan semangat perlembagaan yang menjamin hak asasi manusia.
“Pelik, sebab ia bertentangan dengan (semangat) perlembagaan persekutuan dan turut dikecam pakar undang-undang kebanyakan negara di dunia,” katanya.
Aziz Bari turut sependapat dengan Sivarasa yang menekankan pemansuhan ISA menimbulkan banyak persoalan.
“Sehari selepas Najib umum ISA dimansuh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ketua Polis Negara, menyatakan pemansuhan ISA berkuatkuasa tahun depan tetapi kenyataan Najib (pada 16 September lalu) ‘IsA dimansuh terus’.
“Manakala Timbalan Najib iaitu Muhyiddin Yassin hanya memberi kenyataan pemansuhan ISA dua hari kemudian selain NGO pro Umno, Perkasa mahu ISA dikekalkan, bukankah ini pelik,” soalnya.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.